WASHINGTON: Pegawai Amerika Syarikat kini bergegas menyiasat sumber kebocoran dokumen ketenteraan dan perisikan amat sulit dalam talian, yang mengandungi maklumat seperti pertahanan udara Ukraine hingga agensi perisikan Mossad Israel.
Beberapa pakar keselamatan Barat dan pegawai Amerika mengesyaki kebocoran itu mungkin berpunca dari Amerika Syarikat.
Pegawai Amerika berkata keluasan topik yang disentuh dalam dokumen itu, dari isu perang di Ukraine, China, Timur Tengah dan Afrika, menunjukkan ia dibocorkan oleh seorang warga Amerika dan bukannya sekutu.
"Tumpuannya sekarang adalah Amerika sebagai punca kebocoran, kerana kebanyakan dokumen itu hanya berada di tangan Amerika," kata Encik Michael Mulroy, bekas pegawai kanan Pentagon, kepada Reuters dalam satu temu bual.
Jabatan Pertahanan Amerika berkata pada Ahad, satu usaha antara agensi sedang menilai kesan daripada kebocoran dokumen risikan terhadap keselamatan negara Amerika serta sekutu dan rakan kongsinya.
"Jabatan Pertahanan terus menyemak dan menilai kesahihan dokumen bergambar yang tular di laman media sosial yang kelihatan mengandungi bahan sensitif dan sangat sulit," kata jabatan itu dalam satu kenyataan.
Pegawai Amerika berkata siasatan masih di peringkat awal dan pihak penyiasat yang menjalankannya tidak menolak kemungkinan unsur pro-Russia di sebalik kebocoran itu, yang dianggap sebagai salah satu pelanggaran keselamatan paling serius sejak lebih 700,000 dokumen, video dan kabel diplomatik muncul di laman web WikiLeaks pada 2013.
Kedutaan Russia di Washington dan Kremlin tidak menjawab permintaan untuk memberi komen.
Berikutan pendedahan itu, Reuters menyemak lebih 50 dokumen berlabel "Rahsia" dan "Rahsia Paling Sulit" yang kali pertama muncul pada Mac di laman web media sosial, bermula dengan Discord dan 4Chan.
Walaupun beberapa dokumen telah disiarkan sebelum ini, kewujudan dokumen kali pertama dilaporkan pada Jumaat oleh New York Times. - Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg