Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sehelai sepinggang rentasi sempadan, kini ingin bina hidup semula

Nov 26, 2023 | 5:30 AM
MASIH BERSAMA:  Encik Akmal Galeb Abo Khodra (tengah) bersama dua anak lelakinya, Encik Khalid Akmal Galeb (kanan) dan Encik Mohamed Akmal Galeb di Rafah. Mereka melarikan diri ke Mesir dari Gaza sehelai sepinggang dan hanya membawa beg sandang berisi keperluan penting. 
MASIH BERSAMA:  Encik Akmal Galeb Abo Khodra (tengah) bersama dua anak lelakinya, Encik Khalid Akmal Galeb (kanan) dan Encik Mohamed Akmal Galeb di Rafah. Mereka melarikan diri ke Mesir dari Gaza sehelai sepinggang dan hanya membawa beg sandang berisi keperluan penting.  - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI

Apa yang sepatutnya merupakan hari istimewa bagi Encik Khalid Akmal Galeb pada 7 Oktober kini melambangkan mimpi ngeri yang berulang baginya.

Encik Khalid, 21 tahun, dijadual menerima ijazah selepas melengkapkan pengajian di universiti pada hari tersebut.

Beliau telah menyiapkan jubah pada malam sebelumnya dan membuat persiapan lain.

Baginya, majlis penyampaian ijazah itu akan membuka lembaran baru dalam hidupnya dan membolehkan beliau mengorak langkah dan memulakan kerjaya.

Namun, kegirangan yang diharapkan tidak kesampaian.

Encik Khalid dikejutkan pada pagi 7 Oktober dengan bedilan peluru berpandu yang dilancar dari Gaza ke arah Israel, petanda jelas huru-hara yang tidak lama lagi akan mengganggu ketenteraman kehidupan beliau dan keluarganya.

Firasatnya itu ternyata benar-benar berlaku dan hidupnya kini telah berubah.

Impian memulakan kerjaya, kini diganti dengan harapan nyawa terpelihara dan ingin pulang ke Gaza.

Encik Khalid, adiknya, Mohamed Akmal Galeb, 16 tahun, dan ayah mereka, Encik Akmal Galeb Abo Khodra, 59 tahun, antara segelintir penduduk di Gaza yang berjaya melarikan diri ke Mesir melalui sempadan Rafah selepas ia dibuka semula pada 7 November.

Beberapa hari selepas itu, Berita Minggu (BM) sempat bertemu keluarga itu di sebuah kafe di Kahirah, di mana mereka menceritakan pengalaman semasa konflik tersebut berlaku.

Mereka turut berkongsi cabaran yang berterusan selepas berjaya melarikan diri melalui sempadan Rafah.

“Kami meninggalkan Gaza tanpa membawa apa-apa,” kata Encik Akmal.

BARANG KEPERLUAN: Barang-barang keperluan  Encik Akmal Galeb Abo Khodra dan keluarganya termasuk sebuah beg, telefon bimbit, pasport dan sedikit wang tunai. Keluarga tiga beranak itu hanya membawa beg itu semasa melarikan diri ke Mesir.
BARANG KEPERLUAN: Barang-barang keperluan  Encik Akmal Galeb Abo Khodra dan keluarganya termasuk sebuah beg, telefon bimbit, pasport dan sedikit wang tunai. Keluarga tiga beranak itu hanya membawa beg itu semasa melarikan diri ke Mesir. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI

Keluarga lima beranak itu berjaya menyeberangi sempadan ke Mesir menggunakan pasport Encik Akmal yang mempunyai dua kewarganegaraan. Ayah beliau warga Palestin, tetapi ibunya merupakan warga Mesir.

Kehidupan di Gaza selama satu bulan berperang, penuh dengan ketakutan dan ketidakpastian, menurut Encik Akmal.

“Tembakan dilepaskan ke arah kawasan kediaman kami. Ini memaksa kami meninggalkan rumah untuk mencari tempat lebih selamat,” kata Encik Akmal, menceritakan pengalaman menakutkan itu.

Beliau sekeluarga mencari perlindungan sementara di Hospital Nasser, dengan harapan hospital itu akan menjadi tempat yang lebih selamat.

“Kami tinggal di kawasan luar hospital. Kami tidur di tempat terbuka. Tiada air atau makanan, sangat sesak dan selalu ada mayat. Bunyi ambulans tidak pernah berhenti,” tambahnya.

Beliau ke hospital untuk mendapatkan keperluan asas, mengecas telefon dan menonton berita.

Beliau kemudian akan kembali kepada anak-anaknya dan memaklumkan mereka dengan situasi semasa.

“Kami menulis nama dan butiran kami pada setiap anggota badan. Ini supaya jasad kami boleh dikenal pasti jika kami mati,” kata Encik Akmal, yang mula tidak dapat menahan curahan air mata.

“Kami tidak memerlukan makanan. Kami tidak memerlukan bantuan perubatan. Kami hanya mahu keselamatan.”

DETIK CEMAS: Pelanggan di sebuah kafe kecil di Kahirah terpaku menonton laporan berita di televisyen mengenai konflik pada 11 November.
DETIK CEMAS: Pelanggan di sebuah kafe kecil di Kahirah terpaku menonton laporan berita di televisyen mengenai konflik pada 11 November. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI

Justeru, beliau tidak dapat menahan kegembiraan apabila namanya disertakan dalam senarai penduduk di Gaza yang dibenarkan menyeberangi sempadan Rafah pada 7 November.

Tanpa berlengah, beliau sekeluarga segera beredar, memandu menuju ke sana.

Di Kahirah, namun, mereka berdepan cabaran baru.

Tanpa sebarang pendapatan atau sumber, Encik Akmal bergelut untuk menyara hidup keluarganya di Kahirah, termasuk mencari tempat tinggal.

Kini, keluarga mereka terpaksa berpisah dan tinggal di rumah yang berbeza milik rakan dan saudara-mara, kerana tiada rumah yang dapat menampung mereka semua.

“Saya tidak mempunyai ubat atau wang untuk membeli ubat,” katanya yang menghidapi kencing manis dan tekanan darah tinggi.

“Saya terpaksa meminjam wang hanya untuk menampung perbelanjaan harian kami di sini (Mesir),” ujar Encik Akmal, yang berkata beliau dan keluarga bergantung pada ihsan tuan rumah untuk makan harian.

Mereka bimbang akan terpaksa menjalani kehidupan di jalanan jika konflik berterusan.

Encik Khalid berkata: “Kami seakan tiada lagi masa depan. Kami hidup hari demi hari. Kami tidak lagi mempunyai impian. Impian yang pernah kami miliki, kini tidak lagi wujud.”

Dalam pada itu, walau akur mereka berada dalam keadaan perit, Encik Akmal berkata mereka tetap berasa lebih selamat.

Tapi beliau tidak berhenti berharap supaya keamanan kembali ke Gaza dan berharap penduduk Palestin boleh hidup berdamai di samping penduduk Israel pada satu hari nanti.

“Kami berada dalam situasi yang tidak adil dengan Israel pada masa ini. Kami mengakui kewujudan mereka, tetapi kami juga memiliki hak. Kami juga mahu hidup dengan Israel dalam keadaan aman dan kami memerlukan negara kami sendiri,” kata beliau lagi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg