SYDNEY: Tergendalanya urusan memproses visa di Australia, mengakibatkan sekitar sejuta bakal pekerja terkandas tanpa sebarang penentuan, hingga memburukkan lagi masalah kekurangan kakitangan yang kian meruncing serta melumpuhkan perniagaan dan memalapkan lagi ekonomi negara itu.
Kawalan sempadan yang ketat selama dua tahun, ditambah pula dengan penghijrahan pekerja yang bercuti serta para pelajar asing, menyebabkan banyak majikan menghadapi kesulitan mengisi kekosongan tenaga kerja hingga menyulitkan lagi urusan perniagaan mereka.
Bagaimanapun, penyelesaian yang kelihatannya mudah bagi mengatasi masalah itu, dengan membiarkan lebih ramai pendatang masuk, mengakibatkan pula terjadinya kesesakan dengan lebih 914,000 permohonan visa tetap dan sementara tidak dapat diproses sehingga 12 Ogos lalu, menurut data imigresen yang dilihat oleh agensi berita Reuters.
Daripada jumlah itu, sekitar 370,000 adalah bagi visa sementara kategori penting untuk pelawat, pelajar dan pekerja mahir.
Mereka itu amat diperlukan dan menjadi sumber utama ke arah pemulihan ekonomi negara itu.
Ia juga melibatkan permohonan daripada mereka yang sudah berada di Australia dan sedang menunggu untuk menukar status visa kepada yang tetap.
Kelengahan itu sebahagian besarnya disebabkan kekurangan sumber di pejabat-pejabat imigresen dan banyaknya permohonan yang tertangguh yang tidak dapat diuruskan selama dua tahun sejak pandemik ekoran langkah pemerintah menutup sempadannya.
Masalah kekurangan tenaga kerja yang meruncing di Australia itu dipicu oleh persaingan bagi mendapatkan pekerja mahir di seluruh dunia, terutama dalam sektor perindustrian di mana pandemik Covid-19 memaksa para majikan mengurangkan pekerjaan dan mendorong kakitangan bekerja dari jauh.
Negara-negara perindustrian seperti Amerika Syarikat dan lain-lain dalam Kesatuan Eropah (EU) dan Asia sedang berusaha melonggarkan peraturan imigresen masing-masing dan membuat penawaran bagi menarik bakat-bakat terbaik.
New Zealand juga turut membuat perubahan sementara peraturan imigresennya bagi menampung jurang pekerja.
Pemerintah baru Australia, di bawah Perdana Menteri, Encik Anthony Albanese, mengajak ahli-ahli politik, peniaga, kesatuan sekerja dan lain-lain untuk mencari huraian terhadap masalah ini, dengan menyertai satu Sidang Puncak Pekerjaan dan Kemahiran, di peringkat nasional.
"Pemerintah akui pentingnya pihak imigresen dan para pelawat dalam menangani masalah kekurangan pekerja sekarang, dan sedang menggerakkan kegiatan ekonomi," kata seorang jurucakap di Jabatan Ehwal Dalam Negeri Australia.
"Kami komited untuk mengurangkan bilangan permohonan visa pada paras sebelum Covid-19, dan telah mempergiat usaha percepat masa memprosesnya," ujar jurucakap itu. - Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg