JAKARTA: Indonesia melanjutkan sekatan pergerakan Covid-19 selama seminggu hingga 2 Ogos, dalam usaha mengekang jangkitan penyakit itu.

Pemerintah negara itu juga menyatakan ia akan menambah unit rawatan rapi (ICU) menyusuli peningkatan kes kematian akibat virus tersebut.

Indonesia menjadi pusat wabak Covid-19 Asia, dengan sistem kesihatannya semakin kritikal apabila bekalan oksigen di Pulau Jawa dan Bali kehabisan.

Presiden Indonesia Joko Widodo mengucapkan terima kasih kepada rakyatnya kerana memberi sokongan kepada sekatan Covid-19 yang dikuatkuasakan selama 23 hari.

Beliau berkata jangkitan Covid-19 dan kemasukan ke hospital akibatnya berkuranan, namun tidak memperincikan sebarang data.

Walaupun sekatan dilanjutkan, prosedur operasi standard (SOP) baru diterapkan dalam sekatan kali ini.

Encik Jokowi berkata pemerintah akan secara beransur menyelaraskan beberapa sekatan dengan membenarkan pasar tradisional dan restoran dibuka semula, namun dengan beberapa sekatan, seperti waktu makan 20 minit sahaja.

Beberapa perniagaan, seperti kedai pendandan rambut dan bengkel kenderaan, juga dibenarkan dibuka semula.

Menteri Kanan Luhut Pandjaitan berkata sekatan dengan SOP baru itu akan dikuatkuasakan di 140 wilayah di seluruh Indonesia.

Sekatan akan dikurangkan di kawasan dianggap selamat, termasuk membenarkan pusat beli-belah dibuka dengan kapasiti 25 peratus dan kilang beroperasi dengan had tertentu.

Perdebatan sama ada mahu melonggarkan sekatan mengejutkan pakar kesihatan, yang bertegas masih terlalu awal untuk melakukannya, manakala majikan memberi amaran akan berlaku pemberhentian kerja besar-besaran jika sekatan diteruskan.

Sementara itu, Menteri Ekonomi Airlangga Hartarto berkata Indonesia akan membenarkan cukai nilai tambah percuma kepada penyewa pusat beli-belah terkesan teruk bagi sewa Jun hingga Ogos.

Kurang 7 peratus daripada 270 juta penduduk Indonesia telah divaksinasi sepenuhnya setakat ini, dengan negara terbesar di Asia Tenggara itu bergantung pada vaksin yang dihasilkan Sinovac Biotech dari China.

Pada masa sama, Indonesia sedang menyiapkan lebih banyak ICU Covid-19 selepas mencatat rekod kematian tinggi harian selama beberapa hari minggu lalu.

Ia juga sebagai persediaan awal sementara menunggu keputusan pemerintah sama ada mahu melanjutkan atau melonggarkan perintah sekatan ketat yang dijadualkan berakhir hari ini.

Republik itu kini bergelut dengan gelombang varian Delta virus Covid-19.

Encik Luhut dalam satu kenyataan berkata jumlah kematian akibat Covid-19 terus meningkat di negara itu disebabkan beberapa faktor.

Antaranya ialah hampir semua hospital penuh, pesakit mempunyai tahap oksigen rendah atau mangsa positif Covid-19 meninggal dunia tanpa pengawasan ketika kuarantin kendiri.

Beliau, yang bertanggungjawab mengawasi respons terhadap pandemik itu di Jawa dan Bali, berkata kapasiti ICU akan ditambah di daerah yang melaporkan kematian tertinggi.

Pulau pelancongan Bali mengalami kekurangan tangki oksigen serius sejak kes Covid-19 meningkat mendadak kebelakangan ini.

Indonesia minggu lalu melaporkan kematian tertinggi dalam tempoh empat hari, yang terakhir berjumlah 1,566 kematian Jumaat lalu.

Statistik kelmarin menunjukkan Indonesia merekodkan 3,127,826 kes jangkitan Covid-19, termasuk 82,013 kematian, tetapi pakar kesihatan berpendapat angka sebenar jauh lebih tinggi. - Agensi berita.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti