Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Sekatan Covid-19 dibubar di England

PM Boris Johnson mahu rancakkan semula ekon; namun ada risiko jumlah kes baru lonjak tinggi
Jul 20, 2021 | 05:30 AM



LONDON: Perdana Menteri Britain Boris Johnson mengakhiri tempoh lockdown atau sekatan menyeluruh di England semalam, tetapi menggesa pihak awam supaya terus berwaspada dan berkata vaksin akan terus melindungi negara itu meskipun kadar jangkitan terus melonjak.



Keputusan Encik Johnson untuk menghentikan semua sekatan dengan tujuan menghidupkan semula ekonomi yang dirobek pandemik sejak Mac 2020 diharap membuka lembaran baru dalam respons negara itu terhadap Covid-19, dengan beberapa media di sana menggelarkan semalam sebagai "Hari Kebebasan".



Langkah Britain itu juga sedang diteliti negara lain.



Jika vaksin terus berkesan dalam mengurangkan penyakit teruk dan kematian dalam keadaan jangkitan yang terus melonjak, langkah Britain itu boleh menjadi contoh bagi negara lain yang ingin membuka semula ekonomi masing-masing.



Namun strategi Encik Johnson itu diiringi risiko, dengan yang paling berbahaya adalah kewujudan varian virus yang tidak boleh diatasi dengan vaksin atau bilangan kes melonjak yang terlalu besar sehingga ia menyebabkan ekonomi terhenti lagi.



Dalam pesanan video yang dirakamkan kelmarin, Encik Johnson berkata masanya adalah wajar untuk membuka semula ekonomi.



"Namun kita perlu melakukan sedemikian dengan berwaspada. Kita harus ingat virus dan ancamannya masih ada," ujar beliau.



Angka korban di Britain adalah yang ketujuh tertinggi di dunia, dengan 128,708 maut angkara virus buat masa ini.



Ramalan pakar di negara itu berkata jumlah kes harian dijangka bertambah setiap hari berbanding jumlah jangkitan harian semasa gelombang kedua jangkitan di awal tahun ini.



Britain merakamkan 48,161 jangkitan baru kelmarin.



Namun dari segi pemvaksinan, ia telah mengorak langkah lebih lanjut berbanding negara lain di Eropah.



Sejumlah 87 peratus penduduk dewasa di Britain telah mendapatkan sekurang-kurangnya satu dos vaksin dan lebih 68 peratus telah mendapatkan dua dos vaksin bagi perlindungan tambahan.



Angka korban harian, iaitu sekitar 40 sehari amat berkurangan berbanding lebih 1,800 kes yang dilaporkan pada Januari lalu.



Bermula tengah malam semalam, undang-undang di England yang memperuntuk supaya pelitup wajib dipakai di dalam kedai dan tempat tertutup lain tidak lagi berkuat kuasa.



Ini juga termasuk had kapasiti di kelab malam dan restoran, selain had yang menyekat bilangan orang yang boleh berhimpun secara sosial.



Encik Johnson menetapkan sekatan Covid-19 di England, sementara pentadbiran di Scotland, Wales dan Ireland Utara membuat dasar sendiri.



Tujuan langkah terbaru ini adalah untuk mempercepat pemulihan ekonomi Britain yang telah terjejas amat teruk berbanding ekonomi maju lain.



Namun harapan itu boleh punah, kerana ribuan jangkitan baru sehari telah memaksa pekerja mengasingkan diri di rumah. Ini bukan hanya orang yang dijangkiti, malah orang yang telah berhubungan rapat dengan orang tersebut.



Ini menyebabkan perniagaan ditutup dan khidmat kereta api dibatalkan kerana kekurangan kakitangan.



Isu ini menjadi lebih ketara hujung minggu lalu, apabila Johnson dan Menteri Kewangan Rishi Sunak terpaksa mengasingkan diri selepas Menteri Kesihatan Sajid Javid diuji positif bagi Covid-19.



Pelan bagi Johnson dan Sunak mengelak kuarantin 10 hari - yang dikenakan di serata negara bagi kes-kes serupa - terpaksa diabaikan selepas pihak awam membantah langkah itu.



Insiden itu dianggap sebagai yang terkini dalam siri insiden yang menggugat keyakinan awam terhadap cara pemerintah menangani pandemik.



Namun, kejayaan program vaksin setakat ini telah membantu mengekalkan sebahagian penting sokongan bagi Encik Johnson. - Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >