WASHINGTON: Rumah Putih berkata tidak ada sebab Beijing harus bertindak balas terhadap Amerika Syarikat (AS) dan negara lain yang telah mengenakan sekatan Covid-19 ke atas pengembaranya - menyatakan langkah itu wajar atas alasan kesihatan awam kerana China mengalami lonjakan kes jangkitan koronavirus.
"Tiada sebab untuk membalas dendam di sini. Hanya kerana negara di seluruh dunia mengambil langkah kesihatan yang bijak untuk melindungi rakyat mereka, itulah yang anda lihat daripada kami dan orang lain," kata Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Cik Karine Jean-Pierre, semasa taklimat media kelmarin.
"Keputusan ini berdasarkan kesihatan awam dan sains. Ini datang daripada pakar kami di sini dan negara lain."
AS, Jepun, Perancis, Canada dan negara lain memutuskan pelancong dari China perlu menunjukkan ujian negatif sebelum masuk ke negara dikunjungi.
Sekatan baharu AS berkuat kuasa hari ini.
"Disebabkan lonjakan kes Covid-19 di PRC, dan kekurangan data epidemiologi dan jujukan genom virus yang mencukupi dan telus direkodkan daripada PRC, kami mengambil langkah proaktif yang sengaja untuk memperlahankan penyebaran Covid-19 dan lebih berwaspada terhadap sebarang kemungkinan (penularan) varian Covid-19," kata jurucakap Jabatan Negara, Encik Ned Price, dalam taklimat kelmarin - menggunakan istilah PRC sebagai merujuk kepada Republik Rakyat China.
Pada masa sama, Cik Jean-Pierre berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggesa China membentangkan lebih banyak data bagi membantu mengenal pasti varian yang berpotensi.
"Sekali lagi, tidak perlu membalas dendam. Ini adalah sesuatu yang kita semua, negara lain lakukan untuk memastikan kita melindungi rakyat kita di sini," katanya.
Sementara itu, sebahagian besar daripada 27 negara anggota Kesatuan Eropah (EU) turut mahu penumpang yang datang dari China diuji secara sistematik untuk Covid-19 sebelum berlepas, kata Suruhanjaya Eropah kelmarin.
Cadangan bersepakat itu dicapai semasa mesyuarat pegawai kementerian kesihatan EU yang diadakan pada hari berkenaan di Brussels.
Mesyuarat krisis yang diadakan semalam pula memutuskan langkah berselaras yang akan digunakan di seluruh blok.
China kelmarin mengutuk negara-negara yang mengenakan syarat ujian Covid-19 baru ke atas penumpang warganegaranya yang ke luar negara.
Sehubungan itu, Beijing memberi amaran pihaknya boleh mengambil tindak balas terhadap langkah sebegitu.
Jurucakap Kementerian Luar China, Cik Mao Ning, berkata tindakan negara berkenaan dibuat tanpa asas saintifik selain tidak boleh diterima.
"Sesetengah negara mengambil sekatan kemasukan yang menyasarkan hanya pengembara China.
"Ini tidak mempunyai asas saintifik dan beberapa amalan tidak boleh diterima," tegasnya.
Situasi Covid-19 di China menyaksikan peningkatan mendadak kes jangkitan selepas bertahun-tahun mengenakan sekatan ketat menerusi dasar sifar Covid-19 dan ia dilonggarkan secara tiba-tiba bulan lalu.
Pada Disember tahun lalu, Beijing mengumumkan pengembara 'inbound' tidak lagi perlu dikuarantin, menyebabkan ramai warganya bergegas merancang perjalanan ke luar negara setelah sekian lama menunggu peluang itu.
Negara yang mendakwa ketidaktelusan mengenai data jangkitan dari China dan kemunculan risiko varian baru menjadi punca mengapa pengembara republik itu disekat.
China merekodkan hanya 22 kematian berkaitan Covid-19 sejak Disember, selepas dikatakan mengecilkan kriteria untuk mengkategorikan kematian itu.
Pegawai kesihatan sedunia cuba menentukan fakta wabak Covid-19 China dan cara mencegah penularan lebih lanjut ketika akhbar rasmi China semalam mengumpulkan rakyat untuk "kemenangan terakhir" ke atas virus itu.
"China dan rakyat China pasti akan memenangi kemenangan terakhir menentang wabak ini," kata People's Daily dalam lidah pengarangnya, menangkis kritikan terhadap rejim anti-virusnya yang keras yang mencetuskan bantahan bersejarah akhir tahun lalu. - AFP, Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg