LONDON: Pencapaian tertinggi Ratu Elizabeth Britain, 96 tahun, yang meninggal dunia kelmarin selepas 70 tahun menaiki takhta, adalah mengekalkan populariti pemerintahan beraja merentasi perubahan besar politik, sosial dan budaya selama beberapa dekad yang mengancam menjadikannya ketinggalan zaman.
Seorang tokoh bermaruah dan boleh dipercayai yang memerintah lebih lama daripada mana-mana raja Britain lain, Ratu Elizabeth membantu mengemudi institusi itu ke dunia moden dan menjadikannya lebih terbuka dan mudah diakses, semuanya dalam liputan media yang semakin mengganggu.
Walaupun negara yang diperintahnya kadangkala bergelut mencari tempat dalam susunan dunia baru dengan keluarganya sendiri sering tidak memenuhi jangkaan ramai, Ratu Elizabeth sendiri kekal sebagai simbol kemantapan.
Beliau juga cuba melepasi halangan kelas dan mendapat penghormatan walaupun daripada pihak republikan.
Bagi sebahagian besar dunia, beliau adalah personifikasi atau pelambangan Britain, namun tetap menjadi misteri sebagai seorang individu, tidak pernah memberi temu bual dan jarang meluahkan perasaan atau menawarkan pendapat peribadi di khalayak ramai - seorang wanita yang dikenali jutaan orang tetapi hampir tidak dikenali oleh sesiapa pun.
"Saya fikir beliau membawa tenaga dan semangat kepada tugasnya, beliau berjaya memodenkan dan mengembangkan sistem beraja tidak seperti lain," kata cucunya, Putera William, yang kini pewaris takhta, dalam dokumentari televisyen pada 2012.
Ratu Elizabeth Alexandra Mary dilahirkan pada 21 April 1926, di 17 Bruton Street di tengah London.
Puteri muda itu tidak pernah menyangka akan menaiki takhta: hanya selepas bapa saudaranya Raja Edward VIII turun takhta pada 1936 kerana cintanya kepada warga Amerika Syarikat, Cik Wallis Simpson, mahkota itu diserahkan kepada bapanya, Raja George VI, sedang puteri muda itu berusia 10 tahun.
Beliau baru berusia 25 tahun ketika bapanya meninggal dunia dan kemudian menjadi Ratu Elizabeth II pada 6 Februari 1952.
Mendiang Winston Churchill adalah yang pertama daripada 15 perdana menteri yang berkhidmat semasa pemerintahannya.
"Saya saya tidak sempat belajar kerja, bapa saya meninggal dunia terlalu muda dan oleh itu semuanya adalah perkara agak mendadak, dan saya buat kerja terbaik yang boleh saya lakukan," katanya dalam satu dokumentari 1992.
"Ia adalah mengenai menjadi matang untuk membuat sesuatu yang perlu dilakukan dan menerima hakikat bahawa anda berada di sini dan ini adalah nasib anda. Ia adalah pekerjaan seumur hidup."
Selama 70 tahun mentadbir Britain, negara itu mengalami perubahan dramatik.
Tempoh pascaperang 1950-an yang berjimat cermat memberi laluan kepada era 1960-an yang berubah-ubah; kepimpinan Cik Margaret Thatcher yang memecahbelah pada 1980-an; era Parti Buruh tiga penggal Encik Tony Blair; kembali kepada penjimatan ekonomi dan kemudian wabak Covid-19.
Kerajaan Buruh dan Konservatif silih berganti dengan Britain menjadi masyarakat lebih kosmopolitan dan majmuk. Ratu Elizabeth berada di takhta bagi sebahagian besar Perang Dingin.
Semasa pemerintahannya, terdapat 14 presiden Amerika Syarikat, dari mendiang Harry S. Truman hingga Encik Joe Biden, dan bertemu semuanya kecuali mendiang Lyndon Johnson.
Kejayaan masa depan sistem beraja bergantung kepada sejauh mana warga Britain mengagumi pemimpin seterusnya di atas takhta.
"Pada asasnya, apabila anda melihat struktur dan cara negara ini diuruskan, ia adalah sebuah republik dengan perhiasan bernilai di atas yang kita semua nikmati.
"Dan kita sentiasa boleh menanggalkan perhiasan ini pada bila-bila masa yang kita mahu," kata Ratu Elizabeth semasa menetapkan matlamat hidupnya pada usia muda.
"Saya isytiharkan di depan anda semua," katanya dalam siaran ulang tahun ke-21, "bahawa seluruh hidup saya, sama ada panjang atau pendek, akan ditumpukan kepada memberi khidmat kepada anda dan keluarga besar diraja kita." - Reuters.
KIRIMAN TAKZIAH
"Ratu Elizabeth II mendedikasikan hidupnya untuk berkhidmat. Saya dan isteri mendapat penghormatan mengalu-alukannya ke Singapura pada 1989 dan mewakili Singapura pada lawatan negara pertama kami ke Britain pada 2014. Beliau adalah tuan rumah sangat baik dan kami sangat menghormatinya. Beliau adalah sumber kesinambungan dalam dunia yang berubah dan kadangkala tidak menentu. Kehidupannya menjadi contoh dengan meletakkan negara di atas diri sendiri." - Mantan presiden Singapura, Dr Tony Tan Keng Yam.
"Sebagai ketua negara Britain paling lama hidup dan paling lama memerintah, Ratu Elizabeth II dikagumi secara meluas dek budi, maruah dan dedikasinya di seluruh dunia. Kehadiran beliau amat meyakinkan sepanjang dekad perubahan besar, termasuk penyahjajahan Afrika dan Asia serta evolusi Komanwel. Ratu Elizabeth ialah rakan baik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dan telah melawat ibu pejabat New York kami dua kali, selang lebih 50 tahun. Beliau sangat komited kepada banyak perkara amal dan alam sekitar serta bercakap dengan penuh semangat kepada perwakilan semasa sidang iklim COP26 di Glasgow." - Setiausaha Agung PBB, Encik Antonio Guterres.
"Dalam dunia yang sentiasa berubah, Ratu Elizabeth menampilkan kehadiran mantap serta sumber keselesaan dan kebanggaan bagi generasi rakyat Britain, termasuk ramai yang tidak pernah mengenali negara mereka tanpa beliau. Legasi beliau akan kelihatan besar dalam halaman sejarah Britain, dan dalam kisah dunia kita." - Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, dan Wanita Pertama, Cik Jill Biden.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg