Britain-EU tidak capai kata sepakat dalam rundingan dagangan
LONDON/BRUSSELS: Britain dan Kesatuan Eropah (EU) tidak mencapai kata sepakat dalam rundingan dagangan kelmarin dengan jurucakap Perdana Menteri Britain Boris Johnson berkata, "kemungkinan besar" tidak ada perjanjian dicapai kecuali blok itu merubah kedudukannya "dengan jelas".
Hanya dua minggu sebelum Britain akhirnya meninggalkan EU, Presiden Suruhanjaya Eropah, Cik Ursula von der Leyen, juga tidak bersikap optimistik, menyatakan ia sangat mencabar untuk mengatasi "perbezaan ketara" yang wujud. - Reuters.
Tentera Laut Amerika akan lebih 'garang' dalam hadapi China di Pasifik
WASHINGTON: Tentera Amerika Syarikat kelmarin memberi amaran bahawa kapal tenteranya akan lebih 'garang' dalam memberi respons terhadap pelanggaran undang-undang antarabangsa, dan menarik perhatian Beijing yang cuba meluaskan wilayah takluknya di Laut China Selatan.
Dalam satu dokumen menggariskan matlamat untuk Tentera Laut Amerika, Marine dan Pengawal Pantai untuk tahun-tahun mendatang, Pentagon menekankan beberapa negara, terutama Russia dan China, "cuba mencabar keseimbangan kuasa di rantau utama dan cuba melemahkan orde dunia sedia ada". - AFP.
Kekurangan cip sedunia ancam penghasilan komputer riba, telefon bijak
SEOUL/BERLIN/SHENZHEN: Pembuat kereta dan peralatan elektronik dari TV hingga telefon bijak membunyikan loceng kecemasan disebabkan kekurangan cip sedunia. Ia menyebabkan kelewatan dalam pengeluaran sedang permintaan pelanggan kembali meninggi daripada krisis koronavirus.
Masalah ini disebabkan beberapa perkara, kata eksekutif industri dan penganalisis, termasuk pembelian secara borong oleh firma China yang menghadapi sekatan Amerika Syarikat, Huawei Technologies, kebakaran di loji pembuatan cip di Jepun, perintah sekatan di Asia Tenggara, dan mogok di Perancis. - Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg