Isu kelapa sawit: M'sia kemuka aduan kepada WTO ke atas EU
GENEVA: Malaysia telah memfailkan satu aduan kepada Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) terhadap peraturan Kesatuan Eropah (EU) yang menjejas penggunaan biobahan api berasaskan kelapa sawit, menurut dokumen yang diterbitkan kelmarin.
Di dalam aduannya bertarikh 15 Januari, Malaysia menuduh EU, terutamanya negara-negara anggota, Perancis dan Lithuania, telah mengenakan langkah-langkah sekatan bagi penggunaan minyak kelapa sawit yang menyalahi perjanjian perdagangan antarabangsa.
Malaysia, negara pengeluar minyak kelapa sawit kedua terbesar di dunia, menolak tindakan EU untuk memansuhkan penggunaan minyak kelapa sawit sebagai biobahan api, dan telah meminta diadakan konsultasi bagi menyelesaikan pertikaian ini. - AFP.
Pemimpin kumpulan pengganas Somalia dibunuh tentera Amerika
MOGADISHU: Tiga pemimpin kumpulan pengganas Al-Shabaab terbunuh dalam serangan udara dilancarkan tentera Amerika Syarikat (AS), lapor Agensi Anadolu.
Serangan udara itu dilancarkan bersama dengan pasukan tentera Somalia kelmarin di sekitar daerah Jamaame dan Deb Scinnele.
"Serangan itu menyasarkan pemimpin al-Shabaab yang terbabit dalam menghasilkan bom buatan sendiri (IED), latihan tempur dan perancangan serangan," kata Mejar Jeneral Tentera Udara Amerika, Encik Dagvin Anderson.
Kementerian Penerangan Somalia dalam satu kenyataan berkata, tiada orang awam yang terbunuh atau cedera dalam serangan itu. - Agensi berita.
'Nur Sajat' didakwa hina Islam, sebabkan Islam dipandang hina
SHAH ALAM: Usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman, lebih dikenali sebagai Nur Sajat didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, atas tuduhan berpakaian seperti wanita, sehingga menyebabkan Islam dipandang hina.
Muhammad Sajjad, 36 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Syarie Mohamad Khalid Shaee @ Shaii pada 6 Januari lalu.
Berdasarkan pertuduhan, Muhammad Sajjad didakwa menyebabkan agama Islam dipandang hina dengan cara berpakaian menyerupai wanita di dalam majlis bacaan Yasin dan solat hajat.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Nursajat Beautician, Alam Avenue 2, Jalan Serai Wangi G16/G, Seksyen 16, di sini, pada 7.30 malam, 23 Februari 2018. - BHM.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg