Trump tinggalkan sepucuk surat buat Biden
WASHINGTON: Mantan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, meninggalkan sepucuk surat kepada penggantinya, Encik Joe Biden, sebelum melangkah keluar dari Rumah Putih buat kali terakhir, kata jurucakapnya, Encik Judd Deer, kelmarin.
Surat itu adalah tradisi untuk diserahkan kepada Presiden yang akan memasuki Rumah Putih.
Empat tahun lalu, Encik Barack Obama turut menulis surat kepada Encik Trump sebelum menamatkan penggalnya sebagai Presiden, yang ditinggalkan di Pejabat Bujur, Rumah Putih.
Encik Trump yang enggan menerima kekalahannya, tidak pernah mengucapkan tahniah kepada Encik Biden sejak memenangi pilihan raya Presiden. - AFP.
Twitter serah akaun rasmi Presiden Amerika kepada Biden
SAN FRANCISCO: Sebaik Encik Joe Biden rasmi sebagai Presiden Amerika Syarikat, media sosial, Twitter, menyerahkan akaun rasmi Presiden Amerika, @POTUS, kepadanya, sebagai sebahagian daripada peralihan kuasa.
Langkah ini memberi pasukan Encik Biden kawalan ke atas kesemua akaun media sosial rasmi presiden itu, termasuk akaun Rumah Putih dan akaun baru, @SecondGentleman, untuk suami naib presiden Cik Kamala Harris.
Akaun untuk Rumah Putih, Presiden, Naib Presiden, Wanita Pertama dan Setiausaha Akhbar Rumah Putih "kesemuanya telah mendapat pengguna yang baru," menurut Twitter. - AFP
Pence hadiri majlis pelantikan Biden, Kamala
WASHINGTON: Mantan Naib Presiden Amerika, Encik Mike Pence, dan isteri, Cik Karen Pence, hadir di majlis pelantikan Encik Joe Biden kelmarin.
Ini setelah Encik Trump memutuskan untuk tidak menghadiri acara tersebut sekali gus memecah tradisi dalam peralihan kuasa presiden.
Encik Pence dilihat memberi tepukan kepada penggantinya, Cik Kamala Harris, sebaik tiba di Bangunan Capitol bagi acara itu.
Encik Pence, mantan gabenor Indiana, bersama isteri telah pulang ke kediaman mereka di Columbus, Indiana, dan disambut oleh para penyokongnya di sana. - Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg