Topik diikuti
Pergi ke BHkuM'sia dapat 10,000 kuota tambahan haji lepas Covid-19 terkawal
RIYADH: Malaysia mendapat 10,000 kuota haji tambahan yang akan dilaksana selepas pandemik Covid-19 terkawal dan ibadah itu dibenarkan semula.
Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata perkara itu dipersetujui oleh Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Raja Salman, dalam pertemuan mereka di Istana Al Yamamah di sini kelmarin.
"Apabila situasi haji kembali normal selepas pandemik Covid-19, kita akan mendapat kuota haji itu untuk jemaah kita," katanya kepada media Malaysia. - BHM.
Kekurangan bahan, alat bagi hasilkan vaksin Covid-19
GENEVA: Peningkatan pengeluaran vaksin, yang tidak pernah berlaku sebelum ini, bagi memerangi Covid-19 mencetus isu kekurangan bahan dan peralatan yang mencapai tahap 'bahaya' dalam rantaian bekalannya.
Perkara itu diakui pemain global terbabit selepas sesi sembang menyaran diadakan langkah untuk mempercepat pengeluaran vaksin itu.
Pengeluar dijangka berupaya menghasilkan kira-kira 10 bilion dos pelbagai jenis vaksin Covid-19 tahun ini - dua kali ganda kapasiti pengeluaran gabungan semua vaksin pada 2019. - AFP.
Mahkamah: Penganut Kristian di Sabah, Sarawak boleh guna 'Allah'
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini semalam membenarkan penganut Kristian di Sabah dan Sarawak menggunakan kalimah "Allah dan tiga perkataan lain dalam penerbitan agama itu untuk mendidik ahli dalam komuniti mereka".
Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Nor Bee Ariffin selepas membenarkan semakan kehakiman oleh Cik Jill Ireland, yang memohon pengisytiharan hak perlembagaannya mengamalkan agamanya dilanggar.
Selain Allah, perkataan lain yang dibenarkan ialah solat, Kaabah dan Baitullah. - BHM.
20 budak mangsa penderaan seks di Panama dikenal pasti
PANAMA CITY: Pendakwa raya Panama mengenal pasti 20 kanak-kanak yang menjadi mangsa penderaan seksual dan pelbagai penganiayaan lain di sejumlah rumah anak yatim negara itu.
Ketika mengumumkan perkara itu semalam, pendakwa raya turut memaklumkan bahawa lapan individu telah didakwa berhubung kes berkenaan setakat ini.
Siasatan dilancarkan selepas satu laporan dibuat oleh sebuah jawatankuasa parlimen yang mendakwa puluhan kanak-kanak dikesan mengalami penderaan seksual, fizikal dan lisan di rumah anak yatim yang dibiayai pemerintah sejak 2017. - AFP.