Taufan Seroja landa Australia, musnah harta benda
MELBOURNE: Taufan tropika Seroja melanda Australia Barat semalam dengan ribut kategori 3 membadai pesisir pantai mengakibatkan kemusnahan harta benda.
Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Kecemasan (DFES), dalam buletin hariannya berkata tahap waspada merah diperluaskan ke beberapa bandar menjelang kedatangan taufan.
"Orang ramai diberi amaran segera berpindah ke pusat perlindungan berikutan angin kencang dan kemungkinan banjir di pesisir pantai.
"Ada kemungkinan ancaman terhadap nyawa dan kediaman ketika ribut taufan mendekati daerah itu dan penduduk diminta bersiap sedia untuk berlindung daripada ribut taufan," katanya. - Agensi berita.
Russia rai ulang tahun ke-60 misi angkasa lepas
MOSCOW: Russia semalam menyambut ulang tahun ke-60 penerbangan pertama ke angkasa lepas oleh angkasawan, Yuri Gagarin, antara tokoh paling dikagumi di negara itu.
Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, tiba di Engels, sebuah kota di selatan di tebing sungai Volga, iaitu lokasi pendaratan angkasawan, di mana tugu peringatan dibina bagi mengenang penerbangan bersejarah itu.
Jurucakap Putin, Encik Dmitry Peskov, memberitahu wartawan Jumaat lalu bahawa ulang tahun penerbangan angkasa itu adalah hari kebanggaan bagi Russia.
Pada 12 April 1961, kapal angkasa Vostok berlepas dari tapak pelancaran Baikonur di Kazakhstan, yang ketika itu sebahagian daripada Kesatuan Soviet. - AFP.
Pengganas culik 7 paderi di Haiti, tuntut wang tebusan $1.3j
PORT-AU-PRINCE: Pihak polis Haiti mengesahkan tujuh paderi Katolik termasuk dua rakyat Perancis, diculik semalam di negara yang digegarkan oleh rusuhan itu.
Jurucakap Persidangan Uskup Haiti, Pastor Loudger Mazile, memberitahu AFP, lima paderi dan dua biarawati diculik pada waktu pagi di Croix-des-Bouquets, di timur laut ibu kota Port-au-Prince.
"Ketika itu, mereka dalam perjalanan ke majlis pelantikan ketua paderi dan penculik menuntut tebusan AS$1 juta ($1.34 juta) untuk pembebasan mereka.
"Tebusan termasuk seorang paderi dan seorang biarawati warga Perancis selain empat paderi dan seorang biarawati rakyat Haiti," katanya. - AFP.