Badan PBB putus siasat Israel cabul wilayah Palestin

RAMALLAH: Palestin menyambut baik keputusan Majlis Hak Asasi Manusia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC), membentuk satu jawatankuasa bebas bagi menyiasat pencabulan Israel terhadap wilayah Palestin.

Pada satu sesi khas kelmarin, UNHRC membuat keputusan melancarkan siasatan antarabangsa berhubung pelanggaran hak asasi manusia di wilayah Palestin dan jajahan Israel sejak bulan lalu, selepas 24 negara anggota mengundi menyokong, sembilan membantah dan 14 berkecuali.

Keputusan itu membabitkan siasatan terhadap konflik ganas terbaru antara tentera Israel dan militan Palestin di Jaluran Gaza, dan 'punca tunjang' ketegangan antara dua pihak itu.

Kementerian Ehwal Luar Palestin dalam satu kenyataan mengatakan 24 negara anggota yang menyokong keputusan itu "menyebelahi keadilan, hak dan akauntabiliti". - Agensi berita.

Lagi $2.7b diperlu bagi vaksin negara miskin

GENEVA: Program perkongsian vaksin global Covax memerlukan dana tambahan AS$2 bilion ($2.65 bilion) menjelang awal bulan depan, bagi mempertingkat pelaksanaan program inokulasi di negara miskin dalam usaha mengekang penularan Covid-19.

"Kami memerlukan dana tambahan AS$2 bilion untuk meningkatkan pengagihan hingga hampir 30 peratus.

"Dana itu diperlukan menjelang 2 Jun bagi menempah bekalan sekarang supaya vaksin terbabit dapat dihantar sepanjang tempoh 2021 hingga awal 2022.

"Sekiranya pemimpin dunia berganding bahu, objektif asal Covax hendak menyalurkan dua bilion dos vaksin ke seluruh dunia pada 2021 dan 1.8 bilion dos kepada 92 ekonomi berpendapatan rendah awal tahun depan, masih dapat dicapai," kata pengendali Covax, yang meliputi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pakatan Vaksin Gavi, dalam satu kenyataan kelmarin (27 Mei). - AFP.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti