Amaran ribut pasir di Asia Barat
TEHRAN: Amaran ribut pasir dikeluarkan di beberapa negara rantau Asia Barat sepanjang minggu ini termasuk Iran, Arab Saudi, Iraq dan Syria.
Di Iran, sebahagian besar sekolah dan pejabat pemerintah ditutup dengan pihak berkuasa menasihatkan orang ramai kekal di rumah disebabkan kadar pencemaran udara yang berbahaya.
Di Arab Saudi, jabatan kaji cuaca mengeluarkan amaran mengenai ribut pasir di ibu kota Riyadh selain di bandar Madinah, Yanbu dan Al-Ula.
Bulan ini saja, 1,200 orang dirawat di hospital sekitar Arab Saudi akibat sesak nafas susulan ribut pasir yang turut melanda Iraq, Syria dan Kuwait sejak sebulan lalu. Setakat ini, tiga kematian di Syria selain satu kematian akibat ribut pasir dilaporkan di Iraq. - AFP.
Argentina sahkan kes cacar monyet pertama
BUENOS AIRES: Argentina mengesahkan kes pertama cacar monyet di Amerika Latin membabitkan pengembara yang pulang selepas mengunjungi Sepanyol.
Laporan media tempatan menyatakan pesakit berusia 40 tahun itu dikatakan baru pulang dari Sepanyol, di mana pemerintahnya melaporkan 59 kes, dua hari lalu.
Kementerian Kesihatan Argentina, dalam satu kenyataan, berkata keputusan ujian saringan reaksi rantaian polimerase (PCR), bagi suspek pertama kes cacar monyet adalah positif.
Kementerian itu turut mendedahkan bahawa seorang penduduk Sepanyol yang melawat Argentina dan tidak mempunyai kaitan dengan pesakit sebelumnya adalah suspek kedua. - AFP.
Pasangan bercinta punca dua kampung merana
NEW DELHI: Seorang lelaki akan memutuskan bekalan elektrik di seluruh penempatan di Ganeshpur setiap kali ingin berjumpa teman wanitanya.
Tindakan itu menyebabkan penduduk kampung di daerah Purnia, timur Bihar, kerap terputus bekalan elektrik, lapor Tribune India.
Masalah yang turut berlaku kepada penduduk kampung bersebelahan itu menimbulkan persoalan ramai.
Selepas disiasat, baru mereka tahu ia perbuatan dua kekasih cuba merahsiakan hubungan mereka. - Agensi berita.