Taiwan jalankan latihan tentera dengan senario pulau itu hadapi serangan
PINGTUNG: Tentera Taiwan menjalankan latihan menggunakan peluru hidup dengan senario pulau itu sedang diserang. Latihan tersebut menyusuli latihan tentera besar-besaran China yang disasarkan kepada Taiwan. Jurucakap tentera Taiwan, Lou Woei-jye, mengesahkan latihan tersebut yang bermula di di wilayah selatan, Pingtung sekitar 8.40 pagi (waktu Singapura) kelmarin dengan latihan selesai lebih 12 jam kemudian. - Reuters.
Tujuh maut akibat hujan lebat di Seoul
SEOUL: Sekurang-kurangnya tujuh orang meninggal dunia di ibu kota Korea Selatan, Seoul, dek hujan lebat kelmarin yang menyebabkan gangguan elektrik selain beberapa jalan raya dan stesen kereta api bawah tanah ditenggelami air.
Bahagian selatan Seoul dilaporkan mencatatkan 100 milimeter hujan setiap jam lewat kelmarin, dengan sebahagian kota itu menerima 141.5 milimeter hujan, cuaca hujan terburuk yang dialaminya sepanjang 80 tahun, menurut pihak pentadbiran meteorologi Seoul. Sehingga pagi semalam, Seoul mencatatkan 420 milimeter hujan dengan keadaan tidak dijangka bertambah baik dalam masa terdekat. - AFP.
FBI geledah kediaman mantan Presiden Trump di Mar-a-Lago
WASHINGTON: Mantan Presiden, Encik Donald Trump, berkata ejen-ejen Biro Siasatan Federal (FBI) telah melakukan serbuan ke atas estet mewahnya di Mar-a-Lago kelmarin, dan memeriksa peti besinya, dalam siasatan yang dipercayai berkaitan dengan dakwaan bahawa beliau telah memindahkan rekod-rekod presiden daripada kediamannya di Florida. Operasi yang tidak pernah dilakukan ke atas kediaman mantan presiden itu menandakan siasatan tersebut kini semakin rancak dilakukan pihak berkuasa. - Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg