Laporan Ahmad Zahid tidak bertanding adalah tidak benar
KUALA LUMPUR: Dakwaan mengenai Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak akan bertanding bagi mempertahankan kerusi Parlimen Bagan Datuk dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini adalah tidak benar.
Menurut sumber yang rapat dengan Presiden Umno itu, laporan oleh sebuah akhbar tempatan itu adalah fitnah dan tidak sahih.
"Saya menerima beberapa panggilan berhubung dakwaan Datuk Ahmad Zahid akan diganti oleh sama ada anaknya, Cik Nurul Hidayah atau pun orang kanan beliau sendiri, namun perkara berkenaan tidak benar," katanya kepada Astro Awani, semalam.
Ditanya sekiranya Datuk Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) tetap akan bertanding untuk PRU15, sumber itu bagaimanapun tidak mendedahkannya.
"Saya tidak boleh beritahu sama ada Datuk Ahmad Zahid akan bertanding atau tidak, tetapi laporan berita oleh akhbar tempatan itu adalah tidak benar," ujarnya.
Pada Jumaat, sebuah akhbar tempatan melaporkan Datuk Ahmad Zahid tidak akan bertanding bagi mempertahankan kerusi Parlimen Bagan Datuk yang disandangnya sejak empat penggal lalu dalam PRU15. - Agensi berita.
Saman kerajaan: Charles Santiago berkata banjir besar mungkin melanda
KUALA LUMPUR: Banjir teruk diramalkan berlaku dalam tempoh dua bulan ini.
Penyandang kerusi Parlimen Klang, Encik Charles Santiago memberi hujah itu sewaktu prosiding di Mahkamah Tinggi semalam.
Encik Charles sebelum ini memfailkan saman pemula terhadap Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri dan dua yang lain susulan pembubaran Parlimen pada 10 Oktober lalu.
Peguam bela Charles, Datuk Malik Imtiaz Sarwar, berkata ini akan menjadi malapetaka jika banjir besar berlaku seperti pada Disember 2021, yang menyebabkan 54 kematian, 117,000 orang kehilangan tempat tinggal dan kerugian kira-kira RM6.1 bilion ($1.81 bilion).
Beliau berhujah pada prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid, semalam.
Kerajaan Malaysia dan dua yang lain memohon Mahkamah Tinggi membatalkan saman pemula penyandang kerusi Parlimen Klang, Charles Santiago berhubung pembubaran Parlimen.
Peguam Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin yang juga bekas Presiden Mahkamah Rayuan berhujah, saman pemula itu sewajarnya dibatalkan ekoran pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menetapkan tarikh pengundian pada 19 November ini. - Agensi berita.