Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sekilas

Dec 31, 2022 | 5:30 AM
30db3696-0ae9-4c41-9a5d-33999891dcd4
-

Wanita maut dalam bah di Sumatera Utara

JAKARTA: Seorang wanita terkorban setelah terperangkap dalam banjir yang melanda kampung Emplasmen di kota Labuhan Batu, Sumatera Utara.

Pekerja Agensi Tebatan Bencana (BPBD) dan polis menemui mayat wanita itu di rumahnya beberapa jam selepas beliau dipercayai meninggal dunia.

Banjir menenggelamkan beberapa kawasan di daerah Bilah Hulu, termasuk lebuh raya Trans-Sumatera di Aeknabara, menyebabkan kesesakan lalu lintas. Pemangku pegawai daerah Labutan Batu, Encik Erik Ritonga, berkata banjir melanda awal pagi Rabu, menyebabkan kesukaran dalam usaha menyelamat.

Dalam satu kenyataan media, Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) memberi amaran lebih banyak hujan lebat dijangka menjejas wilayah di seluruh Indonesia hingga semalam, terutama di Jakarta dan beberapa kawasan lain.

Kawasan-kawasan itu diletak dalam keadaan berjaga-jaga. Amaran BMKG di akaun Twitternya berkata penduduk Jakarta boleh menjangka hujan ringan hingga ribut petir sepanjang hari. - The Jakarta Post.

Netanyahu sah jadi PM Israel lagi

BAITULMAQDIS: Encik Benjamin Netanyahu mengangkat sumpah buat kali keenam sebagai perdana menteri Israel kelmarin.

Selepas memenangi pilihan raya 1 November lalu, Encik Netanyahu mendapat mandat untuk membentuk kerajaan yang disokong parti Yahudi ultra-Ortodok dan blok sayap kanan ekstrem.

Kelmarin Encik Netanyahu mengumumkan bahawa kerajaannya akan berusaha untuk mengukuhkan semua bahagian Tanah Israel di Galilee, Negev, Golan, dan Tebing Barat.

Pembentukan kerajaan baru itu mencetuskan kebimbangan berlaku ketegangan membabitkan tentera di Tebing Barat, di tengah-tengah keganasan terburuk susulan pencerobohan Israel ke atas wilayah Palestin hampir 20 tahun. - Agensi berita.

Tiga korban serangan baru Russia di Ukraine

KYIV: Russia melancarkan serangan baru peluru berpandu ke atas Ukraine semalam, mengakibatkan sekurang-kurangnya tiga maut, selain menjejas bekalan elektrik di bahagian barat negara itu menjelang sambutan Tahun Baru.

Awalnya, Belarus berkata peluru berpandu Ukraine jatuh di wilayahnya, mencetuskan bantahan diplomatik tetapi Kyiv mendakwa insiden itu dilakukan Moscow.

"Seramai tiga orang terbunuh dan enam cedera, termasuk seorang kanak-kanak," kata Menteri Dalam Negeri Ukraine, Encik Denys Monastyrskyi, mengenai insiden tembakan berkenaan.

Pagi kelmarin, letupan dilaporkan di seluruh Ukraine, termasuk di ibu kota Kyiv, bandar kedua Kharkiv di timur, dan bandar barat Lviv yang bersempadan dengan Poland.

Serangan peluru berpandu itu turut mengenai wilayah barat Ivano-Frankivsk, di kaki bukit Gunung Carpathian yang hampir 1,000 kilometer dari Russia. - Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg