Nahas pesawat di Nepal: 2 kotak hitam ditemui
KATHMANDU:Dua kotak hitam milik pesawat domestik Nepal, Yeti Airlines dan satu lagi mayat ditemukan di lokasi nahas kelmarin, menjadikan angka kematian terkini kepada 69 orang, lapor Xinhua.
Jurucakap tentera Nepal, Brigadier Jeneral Krishna Prasad Bhandari, berkata penemuan dua kotak hitam membabitkan perakam data penerbangan dan perakam suara penerbangan itu adalah penemuan terbaru pihaknya.
Kesemua 68 penumpang - merangkumi 15 warga asing dan enam kanak-kanak - serta empat anak kapal Yeti Airlines terkorban apabila pesawat terhempas di Pokhara pada Ahad lalu dalam nahas udara disifatkan terburuk sejak tiga dekad lalu di Nepal. - Agensi berita.
Jepun gesa dunia selia lebih ketat kripto
TOKYO:Jepun menggesa pengawal selia dunia mengawal selia pengurusan kripto dengan ketat seperti mana ia menyelia bank, sekaligus meningkatkan lagi gesaan agar peraturan lebih ketat dikuat kuasa berikutan keruntuhan pertukaran aset digital FTX Sam Bankman-Fried.
"Kripto telah menjadi sebesar ini," kata Encik Mamoru Yanase, timbalan ketua pengarah Biro Pembangunan dan Pengurusan Strategi Agensi Perkhidmatan Kewangan, dalam satu temu bual.
"Jika anda suka melaksanakan peraturan yang berkesan, anda perlu melakukan perkara yang sama seperti anda mengawal selia dan menyelia institusi tradisional."
Kebankrapan dan penipuan FTX Bankman-Fried telah menjejas sektor kripto, menonjolkan jurang dan perbezaan dalam peraturan aset digital global. Peraturan Jepun telah membantu melindungi pelabur, yang bersedia untuk dapat mengeluarkan dana mereka daripada anak syarikat tempatan FTX bulan depan. - Agensi berita.
Sindiket dadah bunuh 6 di California
WASHINGTON: Seorang bayi berusia enam bulan dan ibunya antara enam yang maut ditembak dalam kejadian dipercayai dilakukan kumpulan kartel dadah di California kelmarin.
Syerif Daerah Tulare, Encik Mike Boudreaux, memberitahu akhbar
Los Angeles Times, kejadian berlaku kira-kira 3.30 pagi waktu tempatan (7.30 malam waktu Singapura) di pusat bandar Goshen.
"Mangsa yang maut termasuk bayi, ibunya berusia 17 tahun dan seorang wanita tua.
"Ramai mangsa ditembak di kepala, termasuk bayi malang itu," kata Encik Boudreaux. - Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg