Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sektor pelancongan kembali rancak, dunia pula hadapi kekurangan pesawat

Jan 3, 2023 | 5:30 AM
PERMINTAAN MENINGKAT: Boeing dan Airbus telah menjual habis model jet popular mereka sehingga sekurang-kurangnya 2029. - Foto REUTERS
PERMINTAAN MENINGKAT: Boeing dan Airbus telah menjual habis model jet popular mereka sehingga sekurang-kurangnya 2029. - Foto REUTERS -

WASHINGTON: Dengan sektor pelancongan kembali pulih dan China mula melonggarkan sekatan Covid-19, satu perkara yang nyata ialah dunia kini kekurangan pesawat.

Kini, syarikat-syarikat penerbangan - daripada United Airlines Holdings kepada Air India - telah membuat tempahan atau akan membuat tempahan bagi mendapatkan jet dalam jumlah ratusan, dengan syarikat Boeing serta Airbus sibuk memberikan tawaran blockbuster.

Namun demikian, kekangan rantaian bekalan bermakna pesawat tersebut tidak akan dihantar sehingga mungkin beberapa tahun akan datang.

Bank pelaburan Jefferies menganggarkan terdapat pesanan tertunggak sebanyak 12,720 pesawat pada masa ini.

Ini bermakna tambang penerbangan yang kian tinggi dan rungutan orang ramai sejak beberapa bulan lalu akan kekal dan keadaan diramalkan menjadi lebih teruk sebelum ia menjadi lebih baik.

"Sudah menjadi satu kebiasaan bagi orang ramai dengan tambang yang lebih rendah semasa pandemik.

"Pembukaan semula China akan memburukkan lagi keadaan itu," kata pengasas laman web penerbangan LiveFromALounge.com, Encik Ajay Awtaney.

Beliau menambah bahawa harga yang tinggi bukan sahaja kerana kekurangan pesawat tetapi juga faktor lain seperti harga minyak.

Walaupun syarikat penerbangan dalam bidang kuasa tertentu mungkin punya kemampuan kewangan untuk menurunkan harga, ia mungkin menyebabkan syarikat penerbangan lain tersandung, "membawa kepada tambang yang lebih tinggi dalam jangka panjang", kata Encik Awtaney.

Syarikat pembuat pesawat terbesar, Boeing dan Airbus yang sebahagian besarnya menikmati duopoli sebagai pembekal jet penumpang, telah menjual habis model jet popular mereka sehingga sekurang-kurangnya 2029.

Menggabungkan permintaan daripada syarikat penerbangan yang ingin menyegarkan armada pesawat mereka yang semakin tua serta permintaan meningkat daripada orang ramai yang ingin menggembara semula telah membuat cabaran rantaian bekalan semakin ketara.

Kini, mendapatkan komponen yang diperlukan dan kekurangan pekerja adalah di antara cabaran yang dihadapi oleh syarikat penerbangan.

Awal Disember lalu, Airbus telah menggugurkan sasaran penghantaran 700 pesawat jet tahun ini kerana isu rantaian bekalan.

Sebelum ini, ia telah memberi amaran bahawa lonjakan kos tenaga akan meningkatkan beban terutamanya bagi pengeluar kecil yang memerlukan kuasa intensif.

Menurut pengasas Air Lease, Encik Steve Udvar-Hazy, setiap jet yang dihantar ke salah satu syarikat pemajak terbesar di dunia sejak dua tahun lalu telah menghadapi kelewatan.

"Tidak ada satu kapal terbang yang tiba tepat pada masanya, sama ada 737 Max atau 787 atau A330 dan A350," katanya.

Beribu-ribu pesawat yang disimpan oleh pengangkut di padang pasir di seluruh dunia, tidak pasti bila permintaan akan kembali apabila pengembaraan berhenti berikutan Covid-19 dan negara-negara menutup sempadan.

Ketidakpastian sedemikian juga menyumbang kepada kekurangan itu. - Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg