JAKARTA: Sekurang-kurangnya tiga orang maut akibat satu gempa bumi sekuat 6.4 pada skala Richter yang melanda Lombok, Indonesia, pagi tadi (29 Julai), menurut pegawai pemerintah tempatan.
Gempa yang kuat itu melanda pada 6.47 pagi (waktu Lombok sama dengan waktu Singapura), menurut Agensi Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).
Gempa itu melanda sekitar 50 kilometer dari bandar utama Lombok, Mataram, yang jauh dari tempat tarikan pelancong di bahagian selatan dan barat pulau itu.
Pulau yang popular di kalangan pelancong itu juga terletak kira-kira 100 kilometer dari Bali.
Menerusi satu kenyataan, jurucakap agensi mitigasi bencana Indonesia, Encik Sutopo Purwo Nugroho, berkata seorang individu meninggal dunia di Lombok Timur manakala dua lagi meninggal dunia di Lombok Utara.
Sementara itu, lebih 20 orang lagi cedera akibat gempa bumi itu.
Pihak berkuasa juga telah menutup laluan mendaki Gunung Rinjani kerana bimbang berlakunya tanah runtuh ekoran gempa tersebut, kata Encik Nugroho. - AFP
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg