STRASBOURG (Perancis): Dua trem yang bertembung di dalam sebuah terowong di bandar Strasbourg, timur Perancis, pada 11 Januari, telah mengakibatkan puluhan orang cedera, menurut pihak berkuasa.
Perlanggaran itu berlaku berhampiran stesen kereta api utama Strasbourg, salah satu stesen paling sibuk di Perancis selepas Paris.
Menteri Pengangkutan Perancis, Encik Philippe Tabarot berkata kemungkinan sekitar 36 mangsa cedera dalam kemalangan itu, sedang anggota bomba pula menganggarkan sehingga 50 mangsa yang cedera.
Satu video yang dimuat naik oleh seorang saksi di media sosial menunjukkan suasana huru-hara di stesen itu, dengan kededua trem mengalami kerosakan teruk.
Akibat perlanggaran tersebut – yang puncanya masih belum diketahui – salah satu trem kelihatan terkeluar dari landasan
“Pejabat pendakwa raya telah memulakan siasatan,” kata pihak berkuasa daerah itu.
Wartawan AFP yang berada di lokasi kejadian melaporkan bahawa kepungan keselamatan besar telah dibina di hadapan stesen, dengan ambulans ditempatkan di situ.
Paramedik dan anggota bomba kelihatan memindahkan mangsa yang tercedera ke dalam ambulans menggunakan pengusung.
Mangsa lain pula menerima pertolongan cemas di bawah bumbung kaca stesen tersebut.
Pada 1994, Strasbourg menjadi bandar besar pertama di Perancis yang memperkenalkan semula perkhidmatan trem setelah ia dihentikan pada 1960.
Tiada kemalangan besar dilaporkan sejak ia diperkenalkan semula di Strasbourg.
Datuk bandar Strasbourg, Cik Jeanne Barseghian dan para pegawai lain dilaporkan telah bergegas ke stesen tersebut.
Kemalangan dilaporkan berlaku sebelum 4 petang waktu tempatan (11 malam waktu Singapura).
“Apa yang kami ketahui setakat ini ialah ia satu kemalangan dahsyat antara dua trem di platform, yang terletak di bawah stesen.
“Terdapat beberapa penumpang dalam kededua trem tersebut,” kata Cik Barseghian sambil menambah tiada kemalangan jiwa dilaporkan atau dalam keadaan kritikal.
Kejadian itu berlaku susulan gangguan perkhidmatan trem akibat demonstrasi di kawasan tengah Strasbourg, yang menyebabkan kesesakan lalu lintas, kata Encik Patrick Maciejewski, pengerusi lembaga pengarah syarikat pengangkutan Strasbourg CTS.
“Kami tidak tahu sebab trem itu terhenti, tetapi ia mula bergerak ke belakang,” kata Encik Maciejewski.
Seorang saksi memberitahu AFP bahawa masalah brek menyebabkan trem itu berundur dengan kelajuan tinggi, mengakibatkan perlanggaran dengan sebuah trem lain dan kemudian menghasilkan bunyi “letupan besar”.
Encik Rene Cellier, pengarah perkhidmatan bomba dan penyelamat Bas-Rhin, berkata sekitar 50 orang mengalami kecederaan termasuk patah tulang dan terkehel, manakala yang lain berada dalam keadaan terkejut.
Sejumlah 50 kenderaan dan 130 anggota bomba telah dikerahkan untuk menangani kecemasan tersebut.
Pengarah CTS, Encik Emmanuel Auneau, berkata kededua pemandu trem itu tidak cedera “tetapi sangat terkesan”. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg