KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin, telah dinasihati beberapa rakan sekutu dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) agar meletak jawatan selepas ditegur Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Ini selepas Istana Negara semalam mengeluarkan kenyataan bahawa Agong tidak memperkenan kepada langkah sehala kerajaan untuk membatalkan semua Ordinan Darurat yang sebelum ini diperkenankan beliau pada awal tahun ini dan dijangka berakhir Ahad ini.
Semalam, Tan Sri Muhyiddin bertemu dengan beberapa menteri dan penasihat rapatnya di Kabinet dan juga Peguam Negara di kediamannya.
"Perdana menteri diberitahu, keadaan sekarang sudah terlalu kusut dan sukar untuk dipertahankan," kata satu sumber kepada The Straits Times (ST).
Sementara itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam mendesak Tan Sri Muhyiddin meletak jawatan susulan kenyataan Istana Negara itu.
Datuk Anwar juga menghantar usul di Parlimen menyatakan hilang kepercayaan kepada Tan Sri Muhyiddin.
Pada masa yang sama, beliau turut menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, supaya turut meletak jawatan.
Datuk Anwar menyifatkan kenyataan Istana Negara yang memaklumkan kekecewaan Agong itu menunjukkan kerajaan telah melanggar prinsip Perlembagaan dan tidak menghormati institusi diraja.
Tegasnya, kenyataan pembatalan Ordinan Darurat oleh Datuk Takiyuddin pada Isnin lalu juga mengelirukan Dewan Rakyat (Parlimen) dan melanggar Peraturan Mesyuarat 36(12).
"Kenyataan Istana Negara ini jelas menunjukkan Kabinet yang diketuai Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melanggar semangat Perlembagaan dan menghina institusi raja, khususnya Yang di-Pertuan Agong.
"Malah, disebut khusus nama Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin yang mengeluarkan kenyataan mengelirukan Dewan, sekali gus tidak bercakap benar kepada rakyat.
"Oleh itu, kita tidak ada pilihan lain, selain menuntut Perdana Menteri meletakkan jawatan," katanya ketika sidang khas Dewan Rakyat, semalam.
Sementara itu, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, juga meminta Tan Sri Muhyiddin, dan juga Datuk Takiyuddin Hassan, meletakkan jawatan kerana mengingkari titah Agong.
Datuk Ahmad Zahid turut mengarahkan Anggota Parlimen (AP) Umno agar melaksanakan keputusan Majlis Kerja Tertinggi parti itu pada 7 Julai lalu, untuk menarik balik sokongan ke atas Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.
"Keputusan ini bagi memenuhi sumpah jawatan selaku Anggota Parlimen yang wajib menumpahkan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong dan memelihara, melindungi dan mempertahan Perlembagaan Persekutuan pada setiap masa.
"Pendirian ini juga seiring dengan asas dan matlamat penubuhan Umno untuk sentiasa memelihara dan membela institusi Raja-Raja Melayu sebagaimana termaktub dalam Fasal 3 Perlembagaan Umno," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Sementara itu, mantan perdana menteri yang juga ketua parti Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata Tan Sri Muhyiddin Yassin sengaja berbohong kepada Parlimen dalam isu pembatalan ordinan darurat.
Menurut beliau, Tan Sri Muhyiddin sepatutnya tahu beliau tidak memiliki kuasa untuk membatalkan ordinan terbabit tanpa mendapat perkenan Agong.
Selepas ditangguh beberapa kali, sidang khas Parlimen kemudian ditangguhkan kepada Isnin ini. - ST, BHM, NST.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg