WASHINGTON - Aktivis dan pengulas sayap kanan Amerika Syarikat, Encik Charlie Kirk, yang juga sekutu berpengaruh Presiden Donald Trump, telah mati setelah ditembak di leher pada 10 September pada satu acara di universiti Utah, dalam apa yang disifatkan gabenor sebagai pembunuhan politik.
Tidak jelas sama ada suspek telah ditahan.
“Seorang individu yang berkepentingan” kini berada dalam tahanan, kata Gabenor Spencer Cox pada satu sidang akhbar, manakala Pengarah FBI, Kash Patel berkata dalam catatan media sosial bahawa “subjek untuk kejadian tembakan ngeri itu” berada dalam tahanan.
Tetapi Pesuruhjaya Jabatan Keselamatan Awam Utah, Beau Mason berkata, suspek masih belum ditahan.
“Charlie Kirk yang hebat dan seorang legenda, sudah mati...Beliau disayangi dan dikagumi oleh semua terutamanya saya, dan kini, beliau tidak lagi bersama kita,” tulis Encik Trump di media sosial.
Klip video telefon bimbit mengenai insiden yang tular di media sosial menunjukkan Encik Kirk berucap di hadapan orang ramai di luar kampus di kampus Universiti Utah Valley di Orem, Utah, sekitar 12.20 tengah hari apabila bunyi tembakan kedengaran.
Encik Kirk menggerakkan tangannya ke arah lehernya ketika beliau jatuh dari kerusinya, menyebabkan para hadirin berlari.
Dalam klip lain, darah boleh dilihat memancar dari leher Encik Kirk sejurus selepas pukulan.
Reuters belum mengesahkan ketulenan video tersebut.
Suspek berkemungkinan melepaskan tembakan dari atas bumbung, kata pihak berkuasa, sambil menambah terdapat kira-kira 3,000 orang berkumpul di acara itu.
Pembunuhan itu adalah yang terbaru dalam siri serangan ke atas tokoh politik Amerika, termasuk dua percubaan pembunuhan Encik Trump pada 2024. - Reuters


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg