WASHINGTON: Dua puluh lima tahun selepas serangan pengganas 11 September 2001 atau 9/11, kesannya masih membayangi kehidupan masyarakat Islam di Amerika Syarikat.

Serangan Al-Qaeda yang meragut hampir 3,000 nyawa itu bukan sahaja mengubah dasar keselamatan dan politik luar Amerika, malah meninggalkan kesan mendalam terhadap cara sebahagian rakyat negara itu melihat Islam dan masyarakat Muslim.

Bagi Muslim Amerika, 9/11 membawa pengalaman yang rumit.

Mereka turut berkabung dan berdepan ketakutan seperti rakyat Amerika lain, tetapi pada masa sama terpaksa menanggung beban tambahan apabila agama dan identiti mereka sering dikaitkan dengan keganasan.

Selepas suku abad, satu persoalan penting timbul: sejauh mana persepsi itu sudah berubah?

Data terbaru Pusat Penyelidikan Pew menunjukkan jawapannya tidak begitu mudah.

Walaupun masyarakat Muslim semakin berkembang dan memainkan peranan lebih besar dalam kehidupan politik serta sosial Amerika, pandangan negatif terhadap Islam masih kuat.

Dalam tinjauan Pew pada Mei 2026, 43 peratus orang dewasa Amerika berkata Muslim kurang patriotik berbanding rakyat Amerika lain, manakala 42 peratus berpandangan masyarakat Muslim memberi kesan negatif kepada negara itu.

Lebih menarik, apabila responden diminta menjelaskan sebab pandangan mereka, sebahagian masih merujuk secara langsung kepada serangan 9/11.

Ini menunjukkan bahawa bagi sebahagian rakyat Amerika, peristiwa yang berlaku 25 tahun lalu masih menjadi ukuran dalam menilai masyarakat Muslim hari ini.

Malah, berdasarkan beberapa ukuran, persepsi terhadap Islam kini lebih negatif berbanding sejurus selepas serangan itu.

Pada Mac 2002, hanya enam bulan selepas 9/11, 25 peratus rakyat Amerika berpendapat Islam lebih cenderung berbanding agama lain untuk menggalakkan keganasan.

Angka itu meningkat dengan ketara dalam tahun-tahun berikutnya.

Pada awal 2026, 51 peratus responden memberikan pandangan sedemikian.

Perubahan itu menunjukkan satu paradoks.

Ketika trauma 9/11 masih baru, pandangan negatif terhadap Islam sebenarnya lebih rendah berbanding sekarang.

Salah satu penjelasannya mungkin terletak pada suasana politik ketika itu. Presiden George W. Bush berusaha membezakan Islam daripada kumpulan pengganas yang melakukan serangan tersebut.

Enam hari selepas 9/11, beliau mengunjungi sebuah pusat Islam di Washington dan menegaskan bahawa Islam adalah agama yang membawa keamanan.

Hari ini, isu Islam pula semakin terikat dengan perpecahan politik Amerika.

Dalam tinjauan 2026, 76 peratus penyokong Parti Republikan dan golongan bebas yang cenderung kepada parti itu berkata Islam lebih berkemungkinan menggalakkan keganasan berbanding agama lain.

Dalam kalangan penyokong Demokrat, angkanya hanya 29 peratus.

Jurang itu jauh lebih besar berbanding pada 2002, apabila angka masing-masing ialah 32 peratus dan 23 peratus.

Ini menunjukkan bahawa pandangan terhadap Islam bukan lagi semata-mata dipengaruhi oleh keselamatan atau pengalaman 9/11, tetapi semakin menjadi sebahagian daripada pertembungan politik dan identiti di Amerika.

Kesan terhadap Muslim Amerika dapat dilihat dengan lebih nyata melalui pengalaman diskriminasi.

Menurut data Biro Siasatan Persekutuan (FBI), jumlah jenayah kebencian terhadap Muslim melonjak daripada hanya 28 kes pada 2000 kepada 481 pada 2001.

Angka itu turun naik selepas itu tetapi tidak pernah kembali ke paras sebelum 9/11.

Dalam tinjauan pada akhir 2001, 52 peratus Muslim berkata masyarakat mereka mengalami diskriminasi anti-Islam selepas serangan tersebut, manakala 68 peratus menganggap gambaran media mengenai Muslim dan Islam sebagai tidak adil.

Menariknya, pada ketika yang sama, 75 peratus berkata rakyat Amerika bersikap menghormati dan bertolak ansur terhadap Muslim.

Corak bercampur antara diskriminasi dengan penerimaan itu masih dapat dilihat hari ini.

Pada Mei 2026, 59 peratus Muslim Amerika berkata terdapat banyak diskriminasi terhadap masyarakat mereka, manakala peratusan sama menganggap gambaran Muslim dalam televisyen dan filem sering tidak adil.

Pada masa sama, 34 peratus berkata ada individu yang menyatakan sokongan kepada mereka sepanjang 2025 kerana mereka beragama Islam.

Pengalaman itu juga tidak seragam.

Kajian Pew sebelum ini mendapati Muslim yang lebih muda cenderung melihat rakyat Amerika sebagai mesra terhadap masyarakat mereka berbanding generasi lebih tua.

Muslim yang dilahirkan di Amerika juga lebih cenderung melaporkan pengalaman diskriminasi berbanding warga pendatang.

Satu kemungkinan ialah generasi Muslim yang lahir dan membesar di Amerika mempunyai jangkaan lebih tinggi terhadap layanan sama rata kerana mereka melihat negara itu sebagai tanah air mereka sendiri, bukan negara yang mereka datangi sebagai pendatang.

Pada masa sama, kedudukan masyarakat Muslim di Amerika sudah berubah dengan ketara sejak 9/11.

Jumlah Muslim di negara itu kini dianggarkan sekitar 5.5 juta orang, meningkat daripada 2.4 juta pada 2007.

Bilangan masjid juga bertambah daripada kira-kira 1,200 pada 2000 kepada hampir 2,800 pada 2020.

Peningkatan itu disertai kemunculan masyarakat Muslim dalam arena politik.

Jika tiada seorang pun anggota Kongres beragama Islam pada 2001, kini terdapat empat anggota Muslim dan seorang lagi bakal menyertai badan perundangan itu.

Calon Muslim juga semakin menonjol dalam kededua parti utama.

Dr Mehmet Oz mencipta sejarah pada 2022 apabila menjadi warga Islam Amerika pertama dicalonkan sebuah parti utama untuk kerusi Senat selepas memenangi pemilihan awal Republikan di Pennsylvania, walaupun beliau kemudian kalah dalam pilihan raya.

Di Michigan, Encik Abdul El-Sayed pula dipilih sebagai calon Democrat bagi kerusi Senat pada 2026.

Perubahan paling simbolik mungkin berlaku di New York, bandar yang menjadi sasaran utama serangan 9/11.

Encik Zohran Mamdani mengangkat sumpah pada awal 2026 sebagai datuk bandar Muslim pertama New York.

Perkembangan ini memperlihatkan dua realiti yang bergerak serentak.

Di satu pihak, 9/11 masih membentuk persepsi sebahagian rakyat Amerika terhadap Islam, dengan prasangka yang dalam beberapa ukuran lebih kuat berbanding 25 tahun lalu.

Di pihak lain, masyarakat Muslim Amerika semakin besar, lebih tersusun dan semakin kelihatan dalam politik serta kehidupan awam.

Justeru, legasi 9/11 terhadap Muslim Amerika bukan sekadar kisah mengenai diskriminasi.

Ia juga kisah bagaimana sebuah masyarakat yang selama bertahun-tahun berdepan kecurigaan semakin mengukuhkan kedudukannya sebagai sebahagian daripada landskap sosial dan politik Amerika.

Selepas 25 tahun, cabaran terbesar mungkin bukan untuk melupakan 9/11, tetapi memastikan tragedi itu tidak terus menjadi satu-satunya lensa untuk melihat jutaan warga Islam yang menganggap Amerika sebagai tanah air mereka. – Agensi berita.

“Ia juga kisah bagaimana sebuah masyarakat yang selama bertahun-tahun berdepan kecurigaan semakin mengukuhkan kedudukannya sebagai sebahagian daripada landskap sosial dan politik Amerika. Selepas 25 tahun, cabaran terbesar mungkin bukan untuk melupakan 9/11, tetapi memastikan tragedi itu tidak terus menjadi satu-satunya lensa untuk melihat jutaan warga Islam yang menganggap Amerika sebagai tanah air mereka.”
Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti