Topik diikuti
Pergi ke BHkuSemakin banyak negara sekat media sosial bagi kanak-kanak
Kesatuan Eropah cadang larangan bagi bawah 13 tahun, sekatan lebih ketat sehingga usia 18 tahun
Semakin banyak negara sekat media sosial bagi kanak-kanak
BRUSSELS: Kesatuan Eropah (EU) merancang melarang kanak-kanak berusia bawah 13 tahun daripada menggunakan media sosial, sedang semakin banyak negara mengambil langkah mengehadkan akses golongan muda ke platform digital kerana bimbang terhadap kandungan berbahaya dan ciri yang boleh menyebabkan ketagihan.
Menurut pengiraan AFP, lebih 20 negara di seluruh dunia kini sudah mengambil langkah untuk menyekat atau mengehadkan akses kanak-kanak kepada media sosial.
Daripada jumlah itu, tujuh negara sudah melaksanakan sekatan atau mempunyai langkah yang bakal berkuat kuasa, dengan kebanyakannya menetapkan had umur antara 15 dengan 16 tahun.
Australia menjadi negara pertama memperkenalkan larangan menyeluruh penggunaan media sosial bagi mereka yang berusia bawah 16 tahun pada penghujung 2025, sementara beberapa negara lain termasuk Indonesia, Malaysia, Turkey dan Amiriah Arab Bersatu (UAE) turut mengambil langkah serupa.
Perkembangan itu mencerminkan kebimbangan yang semakin meningkat dalam kalangan pemerintah mengenai kesan penggunaan media sosial terhadap kanak-kanak, khususnya ciri platform yang direka untuk membuatkan pengguna terus menatal, menonton dan kembali menggunakan aplikasi untuk tempoh panjang.
Presiden Suruhanjaya Eropah, Cik Ursula von der Leyen, mengumumkan rancangan itu dalam ucapan State of the Union di Parlimen Eropah di Strasbourg pada 16 September.
Di bawah pendekatan berperingkat yang dicadangkan, kanak-kanak bawah 13 tahun tidak dibenarkan menggunakan media sosial, manakala mereka yang berusia 13 dan 14 tahun tidak boleh mempunyai akaun peribadi secara bebas.
Sebaliknya, mereka hanya dibenarkan menggunakan “akaun mini” yang diwujudkan dan diawasi ibu bapa atau penjaga, dengan fungsi terhad serta had penggunaan selama sejam sehari.
Bagi remaja berusia antara 15 dengan 18 tahun pula, platform digital perlu menyediakan reka bentuk yang lebih selamat dan sesuai dengan usia mereka.
Langkah itu sebahagian daripada usaha lebih luas EU untuk menangani ciri platform yang direka bagi memastikan pengguna terus berada dalam talian, termasuk fungsi menatal tanpa henti, video dimainkan secara automatik, pemberitahuan berulang dan sistem cadangan kandungan yang sangat diperibadikan.
Suruhanjaya Eropah sebelum ini mendapati secara awal bahawa beberapa ciri sedemikian pada TikTok, Instagram dan Facebook boleh mendorong penggunaan berlebihan atau tingkah laku kompulsif.
Cik von der Leyen berkata tanggungjawab juga akan lebih banyak diletakkan pada syarikat teknologi untuk membuktikan platform mereka selamat digunakan golongan muda.
Cadangan EU itu muncul ketika sekurang-kurangnya 20 negara di seluruh dunia sudah mengambil atau mempertimbangkan langkah menyekat penggunaan media sosial dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.
Australia menjadi negara pertama melaksanakan larangan menyeluruh media sosial bagi mereka yang berusia bawah 16 tahun pada Disember 2025.
Langkah itu menjadi rujukan bagi beberapa pemerintah lain, meskipun data yang dikeluarkan pada Ogos menunjukkan ramai remaja Australia masih berjaya memintas sekatan berkenaan.
Di Asia, Indonesia melarang penggunaan media sosial bagi kanak-kanak bawah 16 tahun sejak Mac, sementara Malaysia mengambil pendekatan serupa menerusi undang-undang yang berkuat kuasa pada Jun.
China pula mula mengetatkan akses golongan muda kepada perkhidmatan digital sejak 2019, pada awalnya dengan mengenakan had masa dan waktu penggunaan permainan dalam talian sebelum memperluaskannya kepada media sosial serta platform penstriman pada 2023.
Turkey meluluskan undang-undang pada April untuk menghalang mereka yang berusia bawah 15 tahun daripada menggunakan media sosial, dengan pelaksanaannya dijangka bermula lewat 2026.
Emiriah Arab Bersatu (UAE) pula mengumumkan pada Ogos bahawa ia akan mengenakan larangan terhadap penggunaan media sosial bagi kanak-kanak bawah 15 tahun, dengan langkah itu dijangka dilaksanakan dalam tempoh sekitar setahun.
Di Amerika Syarikat, California turut mengetatkan peraturan.
Gabenornya, Encik Gavin Newsom, menandatangani sekitar sedozen undang-undang pada 10 September untuk meningkatkan perlindungan kanak-kanak dalam talian, termasuk melarang platform menawarkan ciri yang boleh menyebabkan ketagihan kepada pengguna bawah 16 tahun. Peraturan itu dijadual berkuat kuasa pada awal 2027.
Beberapa negara Eropah pula tidak menunggu tindakan bersama EU.
Greece merancang melarang akses media sosial bagi kanak-kanak bawah 15 tahun mulai Januari 2027, sementara Austria dan Slovenia sedang menyediakan undang-undang bagi menetapkan had umur masing-masing pada 14 dan 15 tahun.
Di Jerman, Canselor Friedrich Merz menyokong sekatan lebih ketat terhadap penggunaan media sosial oleh kanak-kanak. Sebuah suruhanjaya pakar sedang mempertimbangkan sekatan secara berperingkat berdasarkan usia atau peraturan berbeza mengikut jenis platform.
Sweden sedang meneliti cadangan larangan bagi mereka yang berusia bawah 15 tahun menjelang awal 2028, sementara Denmark turut merancang menyekat beberapa platform media sosial bagi kumpulan umur sama.
Di luar EU, Norway dijangka membentangkan rang undang-undang menjelang akhir tahun bagi melarang mereka yang berusia bawah 16 tahun daripada menggunakan media sosial.
Canada pada 10 Jun turut mengemukakan rang undang-undang untuk menetapkan usia minimum 16 tahun, manakala New Zealand pada Ogos mengusulkan langkah serupa dengan pendekatan Australia.
Portugal, Sepanyol dan Italy juga sedang mempertimbangkan undang-undang masing-masing.
France sebelum ini meluluskan undang-undang untuk melarang media sosial bagi mereka yang berusia bawah 15 tahun, tetapi langkah itu dibatalkan Majlis Perlembagaan atas alasan berkaitan kebebasan bersuara.
Presiden Emmanuel Macron kemudian berikrar memperkenalkan undang-undang baru yang lebih kukuh dari segi perundangan menjelang musim bunga 2027.
Perkembangan itu menunjukkan perdebatan mengenai keselamatan kanak-kanak dalam talian semakin beralih daripada tanggungjawab ibu bapa semata-mata kepada persoalan sejauh mana syarikat teknologi perlu bertanggungjawab terhadap reka bentuk platform mereka.
EU kini mahu memperkukuh pendekatan itu dengan mewajibkan platform membuktikan bahawa perkhidmatan yang ditawarkan kepada golongan muda benar-benar selamat.
Cadangan tersebut masih perlu dibahaskan dan mendapat persetujuan negara anggota EU serta Parlimen Eropah sebelum boleh menjadi undang-undang. - AFP
