Topik diikuti
Pergi ke BHkuSembcorp Development terlibat dalam pembangunan taman perindustrian baru di Vietnam
Sembcorp Development terlibat dalam pembangunan taman perindustrian baru di Vietnam
SEBUAH unit Sembcorp Industries, Sembcorp Development, akan terlibat dalam pembangunan sebuah taman perindustrian baru di wilayah Quang Tri di Vietnam, umum Sembcorp Industries dalam satu pemfailan di Bursa Singapura (SGX) kelmarin.
Lesen pelaburan bagi projek Taman Perindustrian Quang Tri itu sudah dikeluarkan kepada sebuah konsortium yang termasuk Vietnam Singapore Industrial Park Joint Venture Co, iaitu sebuah usaha sama antara Sembcorp Development dan rakan kerjasama Becamex IDC Corporation, menurut satu laporan The Business Times.
Taman Perindustrian Quang Tri akan terletak sekitar 60 kilometer dari Lapangan Terbang Antarabangsa Phu Bai di kawasan tengah Vietnam.
Ia seluas 481 hektar, dengan fasa pembangunan awal yang seluas 97 hektar.
Wilayah itu dikenal pasti oleh pemerintah Vietnam sebagai sebuah hab ekonomi masa depan di Koridor Ekonomi Timur-Barat negara itu, yang menghubungkan Vietnam, Laos, Thailand dan Myanmar, menurut Sembcorp Industries.
Setelah mendapat lesen pelaburan, usaha sama baru itu sekarang harus mematuhi undang-undang antimonopoli dan pendaftaran perniagaan untuk menubuhkan sebuah syarikat usaha sama di Vietnam.
Pegangan saham Sembcorp Development dalam projek itu akan mencapai 29.6 peratus.
Keseluruhan proses itu dijangka selesai pada pertengahan 2021.
Menurut Sembcorp Industries, projek Taman Perindustrian Quang Tri tidak dijangka memberi kesan terhadap pendapatan setiap saham dan nilai aset bersih sesaham syarikat itu bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2021.