WASHINGTON: Demi meningkatkan tekanan, Amerika Syarikat melaksanakan sekatan ke atas dua konglomerat yang dikuasai tentera Myanmar, menurut sumber yang biasa dengan perkara itu kepada agensi berita Reuters.
Langkah Perbendaharaan Amerika itu menyenaraihitam kedua-dua institusi - Myanmar Economic Corporation (MEC) dan Myanmar Economic Holdings Ltd (MEHL) - serta membekukan sebarang aset yang dipegang mereka di Amerika Syarikat, dijangka dikuatkuasakan semalam, menurut sumber.
Pihak tentera menguasai sebahagian besar ekonomi negara yang kaya dengan sumber asli itu menerusi pemilikan firma dan anak syarikatnya.
Cik Aung San Suu Kyi, penerima Hadiah Nobel Keamanan pada 1991 atas usaha untuk melaksanakan pemerintahan demokratik di Myanmar, telah ditahan pihak berkuasa sejak kudeta tentera berlaku.
Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat pada Isnin lalu telah mengenakan sekatan ke atas individu terlibat dalam kudeta dan penindasan penunjuk perasaan.
Ini berlaku sedang rejim tentera cuba mematahkan bantahan rakyat dengan memutuskan talian komunikasi dan kemudahan Internet, menyebabkan warga berasa sukar untuk berhubungan secara dalam talian.
Demi mengatasi hal ini, rakyat mula memuat turun perisian yang membolehkan mereka mengatasi sekatan komunikasi dengan menggunakan sumber media alternatif dan jaringan bawah tanah untuk berhubungan antara satu sama lain dan dengan dunia luar. - Agensi berita.