Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Senat Amerika undi teruskan bicara dakwa Trump

Peguam bela berhujah, Trump tidak harus dibicara atas dakwaan menghasut pemberontakan kerana bukan lagi presiden
Feb 11, 2021 | 05:30 AM



WASHINGTON: Senat Amerika Syarikat kelmarin mengundi untuk meneruskan perbicaraan mendakwa mantan Presiden Donald Trump, sekali gus menolak hujah pihak pembela bahawa ia tidak mengikut Perlembagaan.



Peguam bela berhujah bahawa Encik Trump tidak harus berdepan dengan perbicaraan dalam Senat atas dakwaan menghasut pemberontakan kerana beliau bukan lagi seorang presiden.



Bagaimanapun, hasil pengundian mencatat keputusan 56-44 bagi meneruskan perbicaraan itu, dengan enam ahli Republikan turut menyokong pihak Demokrat.



Kes salah laku bekas Encik Trump itu didakwa mempunyai kecacatan dari segi perlembagaan dan tidak masuk akal untuk menuduh beliau bertanggungjawab di atas insiden rusuhan di Bangunan Capitol, demikian dihujahkan pasukan pembela kelmarin menjelang perbicaraan kes berkenaan.



Bagaimanapun dalam hujah pendakwaan pada peringkat praperbicaraan, pihak Demokrat menyatakan Encik Trump melakukan jenayah perlembagaan paling besar dalam sejarah 232 tahun kepresidenan Amerika, apabila menghasut penyokong untuk menceroboh Kongres pada 6 Januari lalu.



Dewan Perwakilan mendakwa Encik Trump buat kali kedua pada bulan lalu kerana peranannya dalam pengepungan Bangunan Capitol di Washington DC oleh penyokongnya. Perbicaraan terhadapnya bermula semalam dengan 100 anggota Senat bertindak sebagai juri.



Walaupun Encik Trump seorang tokoh politik dengan imej yang buruk, beliau tunggak kekuatan dalam Parti Republikan.



Dituduh dengan pendakwaan menghasut pemberontakan, beliau berkemungkinan terlepas sabitan sekali lagi kerana mempunyai sokongan kuat daripada Parti Republikan dalam Senat.



Bagaimanapun, peguamnya berhujah dalam pemfailan akhir praperbicaraan bahawa perlembagaan tidak memberikan Dewan bidang kuasa untuk membicarakan seorang bekas presiden.



Menurut peguamnya, Encik Bruce Castor, Encik David Schoen dan Encik Michael T. van der Veen dalam dokumen pemfailan, Senat harus menolak tuduhan itu dan membebaskan presiden kerana jelas ia bukan kehendak penggubal undang-undang atau apa yang dibenarkan oleh perlembagaan.



"Menuruti kehendak Demokrat bagi memenuhi sandiwara politiknya adalah berbahaya bagi demokrasi Republik dan hak yang selama ini kita pegang," katanya.



Tambahnya lagi, pasukan pembelaan menggunakan bahasa yang lemah dalam ringkasan setebal 78 halaman dengan menyatakan tidak masuk akal untuk berhujah bahawa Encik Trump menggerakkan orang ramai untuk melakukan kejahatan ganas, kerana mereka bertindak atas kemahuan sendiri.



Menurutnya, adalah tidak masuk akal untuk membicarakan bekas presiden kerana tidak boleh memecatnya berikutan beliau kini hanya rakyat biasa yang tidak lagi memegang jawatan.



Presiden Joe Biden, yang menggantikan Encik Trump pada 20 Januari lalu, ketika ditanya wartawan kelmarin enggan mengulas sama ada Encik Trump harus didapati bersalah atau dinafikan hak untuk memegang jawatan politik di masa hadapan.



"Kita biarkan Senat menentukannya," kata beliau.



Jurucakap Rumah Putih, Encik Jen Psaki, kemudian memberitahu wartawan bahawa Encik Biden menentang Encik Trump pada tahun lalu kerana berasa beliau tidak layak untuk jawatan itu.



"Tetapi beliau (Encik Biden) akan menyerahkan kepada Senat untuk melihat prosiding salah laku ini berlangsung", katanya. - AFP.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >