WASHINGTON: Dewan Senat Amerika Syarikat mengambil langkah sementara kelmarin bagi membolehkan pakej bantuan ekonomi yang disarankan Presiden Joe Biden dapat dilaksanakan.
Selain pemberian wang tunai berjumlah AS$1,400 ($1,863), saranan Encik Biden akan juga membantu dalam meluaskan bayaran untuk program membantu sekolah kembali dibuka dengan selamat, mempercepat ujian Covid-19 dan pengedaran vaksin, memberi sokongan kewangan untuk perniagaan kecil, melanjutkan faedah untuk penganggur sehingga September dan meningkatkan bantuan makanan untuk mereka yang memerlukan.
Saranan Encik Biden dapat dilaksanakan setelah 50 ahli-ahli Parti Demokrat memberi sokongan berbanding 49 penolakan dari Parti Republikan - jelas menurut keputusan parti bagi memulakan proses rekonsiliasi belanjawan, dengan seorang ahli Republikan tidak mengundi.
Langkah prosedural ini membuka pintu untuk Demokrat - yang meraih majoriti tipis dengan Naib Presiden, Cik Kamala Harris, mempunyai undi penentu - cuba melaksanakan pakej bantuan Covid-19 atas usaha mereka sendiri, bagi cuba mengelakkan perbahasan berlanjutan yang memerlukan 60 undi bagi kebanyakan usulan rang undang-undang untuk diluluskan.
Ketua majoriti Senat Demokrat, Encik Chuck Schumer, berkata "satu pakej yang besar dan berani" diperlukan untuk mengelak daripada menghadapi pengalaman semasa krisis kewangan sejagat 2008 di mana langkah pemulihan berlangsung dengan tersekat-sekat.
"Kami tidak mahu merendahkan, menolak atau menangguhkan, kerana keperluan rakyat Amerika adalah sangat besar," katanya kepada wartawan.
Sebelum ini, sekumpulan 10 senator Republikan mengutus surat kepada Presiden Biden bagi mengusulkan pelan alternatif bantuan Covid-19, dengan alasan pendekatan mereka mampu meraih sokongan bipartisan yang diperlukan.
Senator Susan Collins, pemimpin Republikan dari Maine, di Twitter menjelaskan menyertai kumpulan itu dan mengutus surat kepada Encik Biden, pada Jumaat lalu untuk mengadakan pertemuan bagi membincangkan rancangan mereka.
Katanya, kumpulan itu akan mengumumkan perincian pelan alternatif bantuan Covid-19 mereka, hari ini.
"Kami sudah menerima surat berkenaan dan pasti akan mengkajinya," kata Pengarah Majlis Ekonomi Kebangsaan Presiden, Brian Deese, kepada CNN.
Katanya, Encik Biden "terbuka kepada idea" selain menegaskan tindakan perlu disegerakan.
Beliau berkata, pelan presiden bernilai AS$1.9 trilion sudah "disesuaikan dengan krisis ekonomi dihadapi" yang antara lain disifatkan punca kira-kira 30 juta rakyat tidak cukup makan.
Encik Biden melancarkan rancangannya pada 14 Januari lalu, dengan menjelaskan ia sangat diperlukan bagi mengendalikan pandemik Covid-19 dan membantu negara itu keluar daripada kemelesetan ekonomi.
Pelan beliau menyediakan cek kepada keluarga, dana untuk membantu membuka semula sekolah dengan selamat, wang bagi mempercepat saringan dan pengedaran vaksin Covid-19, sokongan kewangan bagi perniagaan kecil serta meningkatkan bantuan makanan bagi golongan memerlukan.
Namun, Republikan menjelaskan rang undang-undang (RUU) itu terlalu tinggi berbanding paras hutang negara, manakala Kongres memberikan hampir AS$4 trilion bagi bantuan pandemik. - AFP.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg