PEMERINTAH Singapura telah mengisytiharkan dua kawasan sebagai 'kawasan acara khas' dari 10 hingga 14 Jun, bagi sidang puncak antara Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, dan pemimpin Korea Utara, Encik Kim Jong Un.

Dua kawasan itu ialah kawasan sekitar Hotel Shangri-La di pinggir kawasan Orchard Road dan sebahagian pulau Sentosa dan jalan penghubung ke pulau itu dari Harbourfront.

Perintah itu dibuat dalam Warta Pemerintah di bawah Akta Ketenteraman Awam Sidang puncak Trump-Kim dijadualkan pada 12 Jun.

Kawasan sekitar Hotel Shangri-La yang diwartakan sebagai 'kawasan acara khas' pada Ahad lalu bersempadankan Dunearn Road, Paterson Road, Grange Road dan Cluny Road.

Ia meliputi beberapa hotel mewah lain, seperti St. Regis Singapore dan Four Seasons Hotel Singapore.

Apabila kawasan itu diwartakan, ia menguatkan spekulasi bahawa hotel tersebut akan menjadi hos bagi sidang puncak berkenaan.

Namun semalam, sebahagian pulau Sentosa dan jalan penghubung ke pulau itu dari Harbourfront juga diwartakan sebagai 'kawasan acara khas'.

Sebelum ini The Capella Hotel di Sentosa dan The Fullerton Hotel berhampiran Fullerton Road antara yang disebut sebagai tempat yang Encik Trump dan Encik Kim mungkin sama ada tinggal atau bertemu.