PARIS: Butik di ibu kota Perancis tutup awal dan pembeli-belah bergegas pulang bagi menuruti perintah berkurung yang berkuatkuasa kelmarin bagi membendung penularan Covid-19.
"Saya benar-benar tidak perasan masa, sampai ia sudah lewat. Saya nak pulang ke rumah," kata penduduk Paris berusia 40 tahun, Jun, yang tinggal di daerah Opera sebelum perintah berkurung.
Kawasan yang selalunya sibuk dan terang bercahaya didapati sepi dengan beberapa orang sahaja dilihat berada di jalanan dengan kebanyakan mereka mengarah ke stesen kereta api.
Kelmarin merupakan hari yang memberi kebebasan kepada rakyat Perancis kerana berakhirnya perintah duduk di rumah.
Ini bermakna orang ramai hanya dibenarkan keluar untuk jangka waktu terhad untuk perjalanan yang perlu, membeli barangan atau bersenam.
Ia kemudian digantikan dengan perintah berkurung.
Mulai 8 malam hingga 6 pagi, orang ramai hanya boleh keluar untuk tujuan kerja, urusan rasmi atau disebabkan keperluan kesihatan.
Sesiapa yang melanggar perintah berkurung boleh didenda 135 euro ($219).
Pegawai penguatkuasa memberi amaran mereka akan bertindak tegas.
Menteri Dalam Negeri, Encik Gerald Darmanin, kelmarin menyertai rondaan polis di Yvelines, barat Paris, untuk memeriksa sekiranya orang ramai mematuhi arahan.
"Pemerintah telah memutuskan untuk bertindak tegas ke atas mereka yang tidak menurut undang-undang," kata menteri itu.
Kadar jangkitan di Perancis telah menurun sejak memuncak pada gelombang kedua bulan lalu, tetapi gelombang ketiga akan menyaksikan peningkatan jika orang ramai tidak mengendahkan penjarakan sosial semasa perayaan Krismas dan Tahun Baru.
Sejauh ini, Perancis mengalami 2.4 juta kes jangkitan dengan lebih 59,000 kematian. Sekitar 180,000 dilaporkan telah sembuh. - Agensi


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg