KYIV/WASHINGTON: Amerika Syarikat akan meletakkan tanggungjawab ke atas Russia bagi "jenayah perang", kata Rumah Putih kelmarin, beberapa jam selepas Russia menyerang bandar-bandar Ukraine dengan dron pada waktu sibuk, membunuh sekurang-kurangnya empat orang di sebuah bangunan di Kyiv.
Presiden Ukraine Encik Volodymyr Zelenskiy, dalam ucapan video petang kelmarin, berkata terdapat lebih banyak serangan.
"Sekarang ini, terdapat serangan dron Russia yang baru. Ada (dron) yang telah ditembak jatuh."
Agensi berita Interfax Ukraine berkata pengguna Telegram telah melaporkan letupan di bandar Fastiv di luar Kyiv, serta di bandar pelabuhan Odesa.
Tentera Russia juga menyasarkan prasarana di seluruh Ukraine dalam gelombang kedua serangan udara dalam seminggu, seperti yang pertama berlaku pada waktu pagi sedang penduduk pergi bekerja dan sekolah.
Askar Ukraine melepaskan tembakan ke udara cuba menembak jatuh dron selepas letupan menggegarkan ibu kota Kyiv pada pagi kelmarin. Roket anti-pesawat boleh dilihat meluncur ke langit, diikuti dengan letupan dan api berwarna oren, sedang penduduk bertempiaran mencari perlindungan.
Setiausaha akhbar kepada Presiden AS Joe Biden, Cik Karine Jean-Pierre memberitahu wartawan bahawa Rumah Putih "mengutuk sekeras-kerasnya serangan peluru berpandu Russia hari ini" dan berkata serangan itu "terus menunjukkan kekejaman (Presiden Russia Vladimir) Putin".
Menyebut pakej bantuan ketenteraan baru bernilai $725 juta yang diumumkan untuk Ukraine pada Jumaat lalu, beliau berkata: "Kami akan terus berdiri bersama rakyat Ukraine selama mana yang diperlukan... Kami akan terus mengenakan kos ke atas Russia, meminta mereka bertanggungjawab atas jenayah perangnya."
Seorang wanita hamil adalah antara empat orang yang terbunuh dalam serangan ke atas bangunan kediaman itu, kata datuk bandar Kyiv, Encik Vitali Klitschko.
Menteri Dalam Negeri Ukraine, Encik Denys Monastyrskyi berkata, kematian juga berlaku di bandar lain tetapi tidak memberi jumlah keseluruhan.
Asap hitam kelihatan keluar dari tingkap bangunan flat Kyiv dan pekerja perkhidmatan kecemasan bertungkus-lumus memadamkan api.
"Saya tidak pernah begitu takut... Ia adalah pembunuhan, ia pembunuhan jelas," kata Encik Vitalii Dushevskiy, 29 tahun, seorang pekerja penghantaran makanan yang menyewa unit di bangunan itu.
Rakan serumah, yang hanya memberikan namanya sebagai Encik Nazar, berkata mereka telah cuba keluar mendapat tangga "semuanya hilang".
Berdekatan, Cik Elena Mazur, 52, sedang mencari ibunya, yang berjaya menghubunginya untuk memberitahu beliau tertimbus di bawah runtuhan.
"Beliau tidak mengangkat telefon," kata Cik Mazur, sambil berharap ibunya diselamatkan dan dibawa ke hospital.
Ukraine berkata, serangan itu dilakukan oleh "dron nekad" buatan Iran, yang terbang ke sasaran dan meletup.
Amerika Syarikat, Britain dan Perancis bersetuju bahawa langkah Iran membekalkan dron ke Russia akan melanggar resolusi Majlis Keselamatan PBB yang mengesahkan perjanjian nuklear 2015 antara Iran dan enam kuasa.
Iran kelmarin tetap menafikan bahawa ia membekalkan dron ke Russia, manakala Kremlin pula tidak mengulas.
Rumah Putih menuduh Iran berbohong apabila mengatakan dron Iran tidak digunakan oleh Russia di Ukraine.
Diminta mengulas, misi Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengulangi kenyataan yang dikeluarkan oleh pemerintah Jumaat lalu yang menyatakan ia menyokong Piagam PBB dan usaha PBB mencari penyelesaian damai bagi konflik di Ukraine.
Beberapa menteri luar EU kelmarin menggesa sekatan terhadap Iran berhubung pemindahan dron ke Russia.
Kementerian pertahanan Russia sementara itu berkata ia telah melakukan serangan "besar-besaran" ke atas sasaran tentera dan infrastruktur tenaga di seluruh Ukraine menggunakan senjata berketepatan tinggi.
Reuters melihat kepingan dron yang digunakan dalam serangan itu yang mengandungi perkataan: "Untuk Belgorod" - rujukan jelas kepada serangan Ukraine di wilayah sempadan Russia.
"Ini sudah menjadi tradisi, rakyat Ukraine terjaga dengan peluru berpandu pada hari Isnin," kata Cik Alla Voloshko, seorang peguam berusia 47 tahun yang berlindung di ruang bawah tanah blok apartmennya.
Tentera Ukraine berkata ia telah memusnahkan 37 dron Russia sejak petang Ahad, atau sekitar 85 peratus daripada yang digunakan dalam serangan.
Reuters tidak dapat mengesahkan kiraan itu secara bebas.
Serangan dron melanda terminal marin Everi di pelabuhan Mykolaiv pada malam Ahad, kata pegawai, merosakkan tangki simpanan minyak bunga matahari dan membakar minyak yang bocor.
Russia menafikan menyasarkan orang awam dalam apa yang disebutnya sebagai "operasi ketenteraan khas" di Ukraine, yang dilancarkan pada 24 Februari dan termasuk menakluk wilayah terbesar di Eropah sejak Perang Dunia Kedua. - Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg