TEL AVIV: Tentera Israel berkata ia sedang menyiasat serangan dron yang telah melanda tengah Tel Aviv tanpa membunyikan semboyan serangan udara dalam kejadian pada awal pagi 19 Julai.
Letupan berlaku beberapa jam selepas tentera Israel mengesahkan ia telah membunuh seorang komander kanan Hezbollah yang disokong Iran di selatan Lebanon.
“Siasatan awal menunjukkan bahawa letupan di Tel Aviv berpunca daripada serangan udara, dan tiada siren diaktifkan. Kejadian itu dalam semakan menyeluruh,” kata tentera Israel dalam satu kenyataan.
Ia berkata pihaknya telah meningkatkan rondaan udara untuk melindungi ruang udara Israel tetapi menyatakan ia tidak mengarahkan langkah pertahanan awam baru.
Jurucakap tentera Houthi Yaman, yang disokong oleh Iran, berkata di wadah media sosial X bahawa kumpulan itu akan mendedahkan butiran mengenai operasi ketenteraan yang menyasarkan Tel Aviv.
Polis berkata mayat seorang lelaki ditemui di sebuah apartmen berhampiran tempat letupan dan berkata ia sedang giat menjalankan siasatan.
Polis dan perkhidmatan kecemasan Israel menyatakan kejadian itu turut menyebabkan tujuh orang mengalami cedera ringan.
Rakaman dari tempat kejadian menunjukkan serpihan kaca dilihat bertaburan di atas jalan raya ketika orang ramai berkumpul untuk melihat bangunan yang mempunyai kesan letupan. Tempat kejadian itu telah ditutup dengan pita polis.
Hezbollah dan Houthi yang telah meningkatkan serangan terhadap Israel dan sasaran Barat, menyatakan mereka bertindak sebagai bentuk perpaduan dengan Palestin selepas Israel menyerang Jaluran Gaza berikutan serangan Hamas ke atas selatan Israel.
Serangan Hamas pada 7 Oktober itu telah membunuh lebih 1,400 orang dan lebih 240 yang lain ditahan sebagai tebusan.
Serangan balas dan berterusan Israel yang mencetuskan perang masuk bulan ke-10 itu, telah membunuh lebih 38,000 rakyat Palestin, kebanyakan orang awam, dan hampir memusnahkan sebahagian besar Gaza yang dikepung itu.
Pada 5 Julai, Hezbollah telah melancarkan serangan roket dan dron ke atas Israel dan mengancam untuk menyerang sasaran baru sebagai tindak balas terhadap pembunuhan seorang komander tertingginya. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg