KHAN YUNIS: Sekurang-kurangnya 11 rakyat Palestin terbunuh dalam beberapa serangan Israel di seluruh Gaza pada 12 November, termasuk enam orang apabila tentera Israel mengebom Hospital Nasser di selatan wilayah itu.

Serangan ke atas hospital terbesar yang masih beroperasi di selatan Gaza itu merupakan serangan tunggal paling banyak meragut nyawa sejak pilihan raya Israel bulan lalu.

Pihak hospital mengesahkan enam kematian, termasuk seorang doktor, manakala hampir 30 orang lagi cedera apabila dua peluru berpandu mengenai bangunan yang menempatkan wad pembedahan.

Pengarah Hospital Nasser, Dr Ahmed al-Farra, berkata antara yang terbunuh ialah Dr Rezeq Abu Shaira, 52 tahun.

Seorang lagi mangsa dikenal pasti sebagai Khaled Abu Anza, yang didakwa tentera Israel sebagai anggota Hamas.

Tentera Israel mengesahkan serangan itu dengan mendakwa sasarannya ialah komander Briged Khan Yunis Hamas, Muhammad Abu Ismail, bersama beberapa anggota kumpulan tersebut yang didakwa bersembunyi di hospital berkenaan.

Menurut kenyataan bersama tentera Israel dan agensi keselamatannya, Abu Ismail bertanggungjawab mengarahkan serangan terhadap orang awam dan anggota tentera Israel, selain menahan beberapa tebusan sepanjang perang Gaza.

Bagaimanapun, tentera Israel tidak mengesahkan sama ada Abu Ismail terbunuh. Namanya juga tidak tersenarai antara mangsa yang dikenal pasti pasukan pertahanan awam Gaza.

Israel turut mendakwa Hamas menggunakan hospital itu sebagai pusat operasi, tempat menyimpan senjata serta menjalankan soal siasat dan penyeksaan.

Hamas menolak dakwaan tersebut, menyifatkannya sebagai alasan palsu untuk menghalalkan serangan terhadap kemudahan perubatan awam.

Kementerian Kesihatan Gaza pula mengecam pengeboman itu sebagai pencabulan terang-terangan terhadap undang-undang dan konvensyen antarabangsa.

Bangunan pembedahan rosak teruk

Seorang pakar bedah Britain yang menjadi sukarelawan di hospital berkenaan, Dr Goher Rahbour, berkata seorang doktor Palestin yang menjalankan pembedahan bersamanya pada malam sebelumnya turut terbunuh.

Beliau berada di hospital ketika serangan berlaku sejurus selepas tengah malam.

“Saya sedang membaca sesuatu di telefon apabila serangan berlaku. Letupannya sangat kuat dan pantas. Bangunan bergegar dan asap tebal memenuhi kawasan,” katanya kepada AFP.

Seorang petugas perubatan kecemasan, Encik Naseem Hassan, berkata peluru berpandu mengenai bangunan empat tingkat dalam kompleks hospital itu sehingga merosakkan jabatan pembedahan.

Wartawan AFP yang berada di lokasi melihat sebahagian tangga luar bangunan runtuh, manakala satu tingkat mengalami kerosakan teruk.

Serpihan konkrit daripada dinding yang runtuh bertaburan bersama peralatan perubatan yang musnah.

Seorang anggota paramedik, Ezzedin Abu Sabha, berkata pesawat pejuang F-16 Israel mengebom bangunan pembedahan tanpa memberikan sebarang amaran awal.

“Ramai pesakit cedera, manakala sejumlah pesakit dan doktor terbunuh,” katanya.

Rakaman yang diedarkan Associated Press menunjukkan sisa senjata yang digunakan dalam serangan itu.

Penganalisis senjata, Trevor Ball, bekas pakar pemusnahan bahan letupan tentera Amerika Syarikat (AS), mengenal pasti dua bom buatan AS seberat kira-kira 113 kilogram setiap satu yang dilengkapi sistem panduan tepat.

Salah satu bom dipercayai gagal meletup selepas menembusi bangunan hospital.

Lima lagi terbunuh dalam serangan berasingan

Selain enam kematian di Hospital Nasser, pasukan pertahanan awam Gaza melaporkan lima lagi rakyat Palestin terbunuh dalam serangan berasingan.

Seorang terbunuh akibat tembakan Israel berhampiran kem pelarian Al-Bureij, manakala seorang lagi maut apabila dron Israel menyerang sebuah kenderaan berhampiran Deir al-Balah di tengah Gaza.

Dua lagi terbunuh dalam serangan terhadap sebuah kenderaan berhampiran Hospital Al-Shifa di Bandar Gaza, sementara seorang maut dalam serangan dron di Jabalia, utara wilayah itu.

Tentera Israel mengesahkan serangan terhadap individu yang didakwanya anggota kumpulan bersenjata di Deir al-Balah dan Bandar Gaza, tetapi menafikan serangan kedua berlaku berhampiran Hospital Al-Shifa.

Gencatan senjata gagal hentikan pembunuhan

Serangan terbaru itu berlaku meskipun perjanjian gencatan senjata yang dimeterai Israel dan Hamas pada Oktober 2025 dengan pengantaraan AS sudah berkuat kuasa lebih setahun.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, lebih 1,600 rakyat Palestin terbunuh akibat serangan Israel sejak gencatan senjata bermula.

Angka itu tidak membezakan antara orang awam dengan anggota kumpulan bersenjata.

Sepanjang tempoh sama, tentera Israel melaporkan tujuh anggotanya dan seorang kontraktor awam terbunuh.

Hospital Nasser sendiri berulang kali menjadi sasaran serangan Israel sejak perang tercetus pada 7 Oktober 2023.

Pada Ogos 2025, serangan Israel ke atas hospital itu mengorbankan 20 orang, termasuk lima wartawan, petugas perubatan dan penyelamat.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, ketika itu mengakui serangan berkenaan sebagai satu kesilapan tragis.

Secara keseluruhan, lebih 74,000 rakyat Palestin dilaporkan terbunuh sepanjang perang Gaza, menurut Kementerian Kesihatan wilayah itu.

Serangan terbaru turut berlaku ketika Israel menghadapi ketidaktentuan politik selepas pilihan raya bulan lalu gagal menghasilkan kerajaan dengan majoriti jelas.

Encik Netanyahu kini mengetuai pemerintahan sementara, manakala pemimpin pembangkang, Encik Gadi Eisenkot, diberi mandat membentuk pentadbiran baharu.

Jurucakap Hamas, Hazem Qassem, menyifatkan pengeboman Hospital Nasser sebagai jenayah perang dan menyalahkan Lembaga Keamanan yang disokong Amerika kerana gagal menghalang serangan tersebut.

Lembaga yang bertanggungjawab memantau pelaksanaan pelan gencatan senjata Gaza itu melahirkan rasa kesal terhadap kehilangan nyawa dan menggesa pelan damai Presiden Amerika, Donald Trump, dilaksanakan segera.

Menurutnya, kegagalan berbuat demikian hanya akan menyebabkan lebih banyak tragedi apabila Israel dan Hamas terus saling menyalahkan.

“Jika tidak, kita akan terus menyaksikan tragedi apabila Hamas mendakwa Israel sengaja menyerang hospital, Israel pula menegaskan Hamas menggunakan kemudahan itu untuk operasi pengganas, sedangkan rakyat Gaza yang tidak bersalah akhirnya menanggung akibatnya,” menurut kenyataan lembaga tersebut.

Dalam masa yang sama, sebanyak 53 negara dan pertubuhan antarabangsa menggesa pemerintah baharu Israel supaya segera menarik balik sekatan terhadap kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza, ketika jutaan rakyat Palestin berdepan ancaman musim sejuk tanpa tempat perlindungan, bekalan perubatan dan bahan api yang mencukupi.

Desakan yang dikemukakan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 12 November itu menyusuli kebimbangan bahawa keadaan kemanusiaan di Gaza masih kritikal, meskipun perjanjian gencatan senjata antara Israel dengan Hamas sudah berkuat kuasa lebih setahun.

Negara terbabit memberi amaran bahawa penduduk yang kehilangan tempat tinggal berisiko mengalami hipotermia, iaitu keadaan suhu badan menurun secara berbahaya akibat kesejukan melampau, selain jangkitan pernafasan dan penyakit bawaan air.

Gesaan bersama itu diterajui Britain, Qatar dan Jordan, dengan Wakil Tetap Britain ke PBB, Cik Sarah MacIntosh, menyampaikan kenyataan tersebut bersama wakil negara dan pertubuhan yang menyokongnya.

Menurut beliau, pelan damai Gaza yang disokong Amerika Syarikat dan diluluskan Majlis Keselamatan PBB menetapkan bahawa bantuan kemanusiaan mesti dibenarkan memasuki Gaza sepenuhnya tanpa sekatan.

Bagaimanapun, jumlah bantuan yang dijanjikan masih belum dicapai.

“Pelan Menyeluruh untuk Menamatkan Konflik Gaza menetapkan kemasukan segera bantuan kemanusiaan sepenuhnya, sekurang-kurangnya pada tahap yang dipersetujui pada 19 Januari 2025.

“Namun, perkara itu masih belum dilaksanakan,” katanya. – Agensi berita