PERANCIS - Suspek warga Tunisia yang membunuh tiga orang di sebuah gereja di Perancis minggu lalu telah diuji positif Covid-19 dan ini boleh menunda sesi soal siasat terhadapnya, menurut satu sumber pada Selasa (3 Nov).
Brahim Issaoui, 21 tahun, kini masih dirawat di hospital selepas ditembak beberapa kali oleh polis menyusuli serangan menggunakan pisau itu di gereja Notre-Dame di bandar Nice pada Khamis (29 Okt) lalu.
"Dia belum lagi disoal siasat, dan jangkaannya masih tidak menentu," kata satu lagi sumber yang memberitahu AFP pada lewat Isnin (2 Nov).
Issaoui, yang dikenali polis Tunisia kerana kesalahan ganas dan dadah tiba di Perancis bulan lalu melalui pulau Lampedusa di Italy setelah merentasi Laut Mediterranean.
Sementara itu, empat lagi individu telah ditahan untuk disoal siasat pada Selasa pagi, termasuk seorang lelaki berusia 29 tahun yang disyaki telah berhubung dengan Issaoui, kata satu sumber kehakiman. - AFP.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg