Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Serangan udara junta Myanmar dikecam PBB

Apr 13, 2023 | 05:30 AM



BANGKOK: Angka korban di Myanmar kian bertambah, menyusuli serangan udara oleh pihak berkuasa di sana yang kini dikecam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan beberapa negara Barat.



Negara Asia Tenggara itu telah berada dalam huru-hara dan ekonominya hampir runtuh, sejak junta tentera merampas kuasa pada Februari 2021.



Ketua hak kemanusiaan PBB, Encik Volker Turk, berkata beliau terkejut dan kecewa dengan serangan udara yang dikatakannya turut menjadikan mangsa kanak-kanak sekolah yang sedang membuat persembahan tarian.



PBB juga menggesa supaya tindakan diambil ke atas pihak yang bertanggungjawab.



Angka korban sebenar menyusuli serangan udara di Kanbalu, kawasan pedalaman di wilayah Sagaing, masih belum ditentukan.



Namun, BBC Burmese dan media setempat seperti The Irrawaddydan Radio Free Asia berkata sekurang-kurangnya 50 maut dan puluhan lagi cedera.



PBB pula berkata, tanpa memberi sebarang pengesahan angka korban keseluruhan, beberapa warga awam terbunuh.



Encik Turk juga menuduh junta atau tentera Myanmar tidak mengendahkan undang-undang walaupun untuk melindungi pihak awam apabila sebarang konflik bersenjata berlaku.



Setiausaha Agung PBB, Encik Antonio Guterres, berkata badan itu mengutuk dengan sekeras-kerasnya serangan yang dilakukan oleh Angkatan Tentera Myanmar itu, menerusi kenyataan yang disampaikan oleh jurucakapnya, Encik Stephane Dujarric.



"Encik Guterres mengulangi gesaannya kepada tentera supaya mengakhiri kempen keganasan ke atas penduduk Myanmar di seluruh negara itu," kata jurucakap itu.



Dalam pada itu, Washington berkata ia amat prihatin berhubung serangan udara itu.



"Serangan ganas ini terus menekankan sikap rejim yang tidak mempedulikan nyawa dan tanggungjawabnya mencetus krisis kemanusiaan dan krisis politik di Burma menyusuli perampasan kuasa pada Februari 2021," kata jurucakap Jabatan Dalam Negeri, Encik Vedant Patel, menggunakan nama asal Myanmar.



"Amerika Syarikat menggesa rejim di Burma untuk menghentikan keganasan yang teramat ini dan membolehkan masuk bantuan kemanusiaan dan supaya menghormati aspirasi menjadi demokrasi yang benar dan inklusif bagi semua warga Burma."



Wilayah Sagaing, yang berhampiran Mandalay, kota kedua terbesar di Myanmar, telah memberikan tentangan hebat ke atas pemerintahan tentera, dengan perbalahan sengit berlaku di sana sejak beberapa bulan lalu.



Beberapa klip video yang kini disebar luas di media sosial - yang belum dapat ditentukan kesahihannya oleh agensi berita AFP - menunjukkan mayat bergelimpangan bersebelahan rumah yang ranap.



Sekilas sedutan suara boleh didengar dari salah satu video:



"Kami akan menyelamatkan anda jika kami mendengar suara anda. Jadi teriak sekuat hati."



Seorang penyelamat yang berhubungan dengan Angkatan Pertahanan Rakyat memberitahu AFP bahawa wanita dan kanak-kanak antara yang terkorban dalam serangan udara.



Beliau menganggarkan angka korban sekitar 100 orang.



Pada hari serangan, puluhan penduduk di kampung Pazi Gyi telah berhimpun untuk meraikan pembukaan pejabat angkatan pertahanan di sana.



Pemerintah Perpaduan Nasional Myanmar, badan pemerintahan 'bayangan' atau tidak rasmi yang dibentuk ramai penggubal undang-undang dari pemerintahan ketua defakto Myanmar, Cik Aung San Suu Kyi, mengutuk serangan udara sebagai perbuatan kejam.



Bercakap di saluran penyiaran tentera, Myawaddy, jurucakap junta Encik Zaw Min Tun berkata serangan yang dilakukan ke atas acara itu bertujuan mengembalikan keamanan di wilayah itu.



Beliau mendakwa serangan itu mengena tempat simpanan senjata yang meletup dan menyebabkan kematian di sekelilingnya, termasuk pihak awam yang 'dipaksa' menyokong pengganas. - Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >