Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Serangan udara Pakistan di Afghanistan korbankan 46

Dec 26, 2024 | 2:00 PM
Pasukan keselamatan Taleban menjalankan pemeriksaan terhadap orang awam dan kenderaan di sebuah pusat pemeriksaan di Kandahar, Afghanistan pada 25 Disember.
Pasukan keselamatan Taleban menjalankan pemeriksaan terhadap orang awam dan kenderaan di sebuah pusat pemeriksaan di Kandahar, Afghanistan pada 25 Disember. - Foto EPA-EFE

KABUL: Serangan udara oleh pesawat tentera Pakistan di wilayah Paktika, timur Afghanistan, pada 23 Disember telah mengorbankan sekurang-kurangnya 46 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Demikian menurut kenyataan pihak Taleban Afghanistan.

Jurucakap Kementerian Pertahanan Afghanistan, Encik Enayatullah Khowrazmi, menyatakan bahawa serangan itu merupakan “pelanggaran terang-terangan terhadap semua prinsip antarabangsa dan tindakan pencerobohan yang jelas”.

Beliau menambah: “Amir Islam tidak akan membiarkan tindakan pengecut ini tanpa tindak balas.”

Kementerian Luar Afghanistan telah memanggil ketua misi Pakistan di Kabul untuk menyampaikan nota bantahan rasmi kepada Islamabad berhubung pengeboman oleh pesawat tentera Pakistan, sambil memberi amaran mengenai akibat daripada tindakan sedemikian.

Seorang pegawai Pakistan yang enggan namanya didedahkan memberitahu Reuters bahawa Pakistan telah melancarkan serangan udara terhadap kem kumpulan militan Tehrik-e-Taleban Pakistan (TTP).

TTP, walaupun berikrar setia kepada Taleban Afghanistan, beroperasi secara berasingan dengan matlamat untuk melaksanakan undang-undang Islam di Pakistan seperti yang dilakukan oleh Taleban di Afghanistan.

Serangan udara itu berlaku selepas serangan besar-besaran oleh TTP di kawasan Waziristan Selatan, Pakistan, yang bersempadan dengan kem yang disasarkan di Afghanistan, mengakibatkan 16 anggota keselamatan Pakistan terbunuh pada 21 Disember.

Kementerian Pertahanan Afghanistan mengenal pasti mangsa yang terkorban dalam pengeboman Pakistan sebagai “kebanyakannya pelarian Waziristan,” menunjukkan bahawa mereka berasal dari wilayah Waziristan di Pakistan.

Hubungan antara Pakistan dengan Afghanistan sering tegang, dengan Pakistan menuduh bahawa beberapa serangan TTP di negaranya dilancarkan dari tanah Afghanistan – tuduhan yang dinafikan oleh Taleban Afghanistan.

Pada Mac lalu, hubungan kedua-dua negara semakin rumit apabila Taleban menuduh Pakistan melancarkan dua serangan udara di wilayahnya, yang mengorbankan lima wanita dan kanak-kanak.

Pakistan pada masa itu menyatakan bahawa ia telah menjalankan “operasi antikeganasan berasaskan risikan” di Afghanistan tetapi tidak menjelaskan secara terperinci mengenai operasi tersebut. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg