Subuh
5:37
Syuruk
6:53
Zuhur
12:58
Asar
4:01
Maghrib
7:00
Isyak
8:09
Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Dunia
28
0

Serangan udara tentera cetus bimbang perang saudara berlaku di Myanmar

Mar 31, 2021 | 05:30 AM

YANGON: Sedang angka kematian penunjuk perasaan Myanmar meningkat mendadak pada hujung minggu lalu, serangan udara tentera terhadap salah satu kumpulan pemberontak terbesar di negara itu menimbulkan kebimbangan lain - kemungkinan berlakunya perang saudara.

Kesatuan Nasional Karen (KNU), yang menguasai sebuah kawasan di tenggara Myanmar dan di sepanjang sempadan Thailand, mengesahkan kelmarin bahawa kira-kira 10,000 penduduk melarikan diri ke zon selamat hujung minggu lalu setelah tentera Myanmar melakukan serangan udara yang mengorbankan tiga orang.

Serangan udara itu adalah tindak balas ke atas serangan oleh pemberontak etnik Karen di sebuah pangkalan tentera Myanmar, atau Tatmadaw, dengan 10 askar terbunuh dan lapan ditahan.

Serangan tersebut berlaku pada hari sama apabila sekurang-kurangnya 114 orang terbunuh dalam pertempuran paling berdarah antara penunjuk perasaan dan pasukan keselamatan pada hujung minggu lalu sejak rampasan kuasa tentera pada 1 Februari, mencetuskan kecaman daripada pemerintah di seluruh dunia.

Walaupun ramai penunjuk perasaan maut, pembantah mengadakan tunjuk perasaan lagi kelmarin sambil menghadiri acara pengebumian penunjuk perasaan yang terkorban dan menunjukkan tabik tiga jari, yang menjadi lambang pergerakan penentangan tersebut.

Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dijadual bermesyuarat hari ini untuk membincangkan keadaan itu, kata sumber diplomatik, setelah Britain meminta rundingan segera diadakan.

Dengan jumlah kematian sekarang melebihi 500 dalam dua bulan lalu, prospek pertempuran lebih luas dengan puluhan kumpulan militia bersenjata kian meningkat.

Persatuan Bantuan bagi Tahanan Politik (AAPP) mengesahkan 510 orang awam sudah terkorban tetapi tidak menolak angka sebenar mungkin lebih tinggi.

"Ada kemungkinan bantahan besar-besaran kian memburuk menjadi perang saudara atau perang antara wilayah," kata Encik Lee Morgenbesser, seorang pensyarah di Universiti Griffith Australia yang memantau politik Asia Tenggara.

"Melihat pada sempadan Myanmar yang agak berliang (poros), bersama hakikat bahawa kaum etnik bersenjata tidak terikat kepada kuasa pusat, ada kemungkinan krisis itu boleh meluas melintasi sempadan antarabangsa."

Setiausaha Agung PBB, Encik Antonio Guterres, mendesak pihak berkuasa Myanmar melakukan "peralihan demokrasi serius".

"Sama sekali tidak dapat diterima melihat keganasan terhadap rakyat, sehingga ramai orang terbunuh," kata Encik Guterres pada satu sidang media.

"Kami memerlukan lebih banyak perpaduan... (dan) lebih banyak komitmen daripada masyarakat antarabangsa untuk memberi tekanan bagi memastikan keadaan dipulihkan kembali," katanya.

"Amerika Syarikat mengutuk sekeras-kerasnya keganasan pasukan keselamatan Burma terhadap orang awam," kata Wakil Perdagangan Amerika, Cik Katherine Tai, menggunakan bekas nama Myanmar, iaitu Burma.

Pada Ahad lalu, belasan ketua pertahanan dari rantau Amerika Utara, Eropah dan Asia Pasifik bersama-sama mengutuk penggunaan kekerasan terhadap orang tidak bersenjata.

Jurucakap Kementerian Ehwal Luar China Zhao Lijian pula mengulangi seruan agar semua pihak di Myanmar berusaha meredakan keganasan, namun enggan mengulas mengenai prospek perang saudara.

China berkongsi sempadan sejauh 2,100 kilometer dengan Myanmar. - AFP, Agensi berita.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3