Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Serpihan belon intip milik China selesai dikutip untuk disiasat: Tentera AS

Feb 19, 2023 | 5:30 AM
JALANI SIASATAN: Serpihan yang dikutip di Lautan Atlantik telah dihantar ke makmal FBI di Quantico untuk menganalisis peralatan itu. - Foto EPA-EFE
JALANI SIASATAN: Serpihan yang dikutip di Lautan Atlantik telah dihantar ke makmal FBI di Quantico untuk menganalisis peralatan itu. - Foto EPA-EFE -

WASHINGTON: Amerika Syarikat berkata operasi mengutip serpihan dan sensor dari belon intip milik China di perairan South Carolina selepas ia ditembak jatuh oleh pesawat pejuangnya telah berakhir dan penyiasat sedang menjalankan analisis ke atas peralatan itu.

Bahagian serpihan terakhir dari belon yang ditembak pada 4 Februari itu menggunakan peluru berpandu Sidewinder, kini sedang dihantar ke makmal FBI di Virginia, kata Komand Utara tentera Amerika dalam satu kenyataan.

"Bahan yang dikutip penting termasuk rangka, beberapa bahagian elektronik dan optik... kesemuanya kini berada di makmal FBI di Quantico," kata jurucakap Majlis Keselamatan Negara, Encik John Kirby.

Encik Kirby berkata Amerika telah mengumpulkan banyak maklumat mengenai belon itu dengan cara mengamatinya sedang ia terbang di angkasa negara itu.

"Kami akan mencungkil lebih banyak maklumat dengan meneliti isi perutnya dan selepas mendapat tahu bagaimana ia berfungi dan apa yang boleh dilakukannya," kata beliau dalam satu sidang media di Rumah Putih.

Tentera Amerika berkata kapal Tentera Laut dan Pengawal Pantai yang telah melaksanakan operasi mencari sejak hampir dua minggu lalu telah meninggalkan kawasan itu.

"Peraturan keselamatan udara dan laut telah ditiadakan," kata Komand Utara dalam kenyataannya.

Tentera Amerika berkata ia percaya ia telah mengutip semua sensor dan bahagian elektronik utama belon China itu, selain sebahagian besar rangkanya, bahagian penting yang diharapnya dapat menentukan bagaimana Beijing telah mengumpulkan dan menghantar maklumat risikan.

Belon China itu, yang telah dinafikan oleh Beijing bertindak sebagai alat risikan pemerintah, terbang selama seminggu di angkasa Amerika dan Canada sebelum ditembak jatuh di Lautan Atlantic berikutan arahan daripada Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden.

Insiden itu mendorong tentera Amerika untuk melaksanakan operasi mencari objek lain di angkasa negara itu dan Komand Utara menembak tiga lagi objek yang tidak dapat dikenal pasti pada minggu lalu.

Namun, pentadbiran Encik Biden, pada 17 Februari berkata ketiga-tiga objek itu mungkin tidak dapat dikutip kerana ia jatuh di kawasan yang sukar dimasuki, termasuk di Tasik Huron yang amat dalam.

Insiden belon China itu juga mendorong Setiausaha Negara Amerika, Encik Antony Blinken supaya menangguhkan lawatan ke Beijing yang telah diputuskan lebih awal, menambahkan lagi ketegangan hubungan antara Washington dengan Beijing. - Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg