KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa Malaysia telah menemui serpihan dari helikopter yang hilang di Sarawak pada Khamis, yang penumpangnya termasuk seorang timbalan menteri, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam satu sidang media pada Jumaat (6 Mei).
Beliau berkata serpihan itu - peranti pengapungan, kerusi, bahagian daripada pintu, bilah pemutar dan dinding - ditemui pada 9.50 pagi Jumaat berhampiran sebatang sungai luas dikenali sebagai Batang Lupar.
"Pasukan mencari dan menyelamat akan meneruskan operasi mereka sehingga badan utama helikopter itu ditemui," kata Datuk Seri Najib di lapangan terbang Kuching.
Helikopter AS350 dengan enam penumpang itu, termasuk Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon, hilang sekitar 4.30 petang Khamis dalam penerbangan ke Kuching dari Betong, sebuah bandar kecil di timur Sarawak, di tengah-tengah kempen pilihan raya negeri yang panas.
Kejadian itu berlaku hanya beberapa hari sebelum pilihan raya Sarawak pada Sabtu ini (Mei 7), dengan para menteri Malaysia di negeri itu berkempen sepenuhnya.
Menurut laporan, pengawal trafik udara terputus hubungan dengan helikopter itu semasa ia dekat Sebuyau.
Datuk Seri Najib berkata pihak berkuasa tidak boleh membuat kesimpulan bahawa semua penumpang dan juaruterbang terkorban kerana mereka tidak dikesan.
Selain Datuk Noriah, yang juga Anggota Parlimen (AP) Sungai Besar, turut berada dalam helikopter itu ialah suaminya, Encik Asmuni Abdullah; Ketua Setiausaha kementerian itu, Dr Sundaran Annamalai; AP Kuala Kangsar yang juga Lembaga Minyak Sawit Malaysia, Datuk Wan Mohammad Khairil Anuar Wan Ahmad; pegawai peribadi Ahmad Sobri Harun; dan juruterbang Rudolf Rex Ragas.