MAPUTO: Seorang pemilik hotel Afrika Selatan berkata pada Isnin (29 Ogos) beliau menemui sekeping serpihan pesawat di luar pantai Mozambique yang mungkin dari pesawat MH370 Malaysia Airlines yang hilang.
Pihak berkuasa penerbangan Mozambique di Maputo berkata mereka telah dimaklumkan mengenai penemuan itu, tetapi belum menerima serpihan tersebut.
"Saya menemui serpihan itu di pantai di depan rumah penginapan Linga Linga Lodge pada Khamis minggu lepas," kata Encik Jean Viljoen, pengurus hotel di wilayah Inhambane di selatan Mozambique.
"Ia berbentuk segi tiga, sekitar 1.2m kali 1.2m, dan ia kelihatan telah lama berada di laut."
Beliau berkata serpihan itu berwarna merah dan putih, dengan pelekat yang mempunyai beberapa nombor yang boleh dibaca.
Serpihan tersebut telah diserahkan kepada polis tempatan.
Australia, yang mengetuai pencarian pesawat yang hilang pada 2014 dengan 239 orang itu, telah menyatakan lima keping serpihan yang ditemui di Mozambique, Afrika Selatan dan Mauritius hampir pasti dari pesawat tersebut.
Serpihan terkini ditemui sekitar 280km ke utara Xai Xai, tempat seorang budak lelaki Afrika Selatan menemui satu serpihan yang dipercayai dari MH370 pada Disember 2015, dan 220km ke selatan tempat satu lagi serpihan, yang ditemui oleh seorang peguam Amerika pada Mac lalu.
Serpihan pertama yang dikaitkan dengan MH370 - sebahagian sayap yang dikenali sebagai flaperon - terdampar di sebuah pulau Perancis di Lautan Hindi, Reunion, pada Julai 2015.
Pesawat Boeing 777 itu hilang pada 8 Mac 2014 semasa penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing. - AFP