Subuh
5:35
Syuruk
6:58
Zuhur
1:05
Asar
4:30
Maghrib
7:10
Isyak
8:25
Dunia

Setelah lepaskan teraju Alibaba, Jack Ma tumpu usaha pendidikan

Sep 24, 2018 | 05:30 AM

Pengumuman Pengasas bersama Alibaba Jack Ma mahu mengundurkan diri dan menyerahkan teraju kepimpinan syarikat gergasi China itu, mengejutkan pasaran dan menarik perbandingan dengan langkah mendiang Steve Jobs mengundurkan diri daripada Apple. BERITA HARIAN menyusuri kebangkitan Jack Ma daripada seorang guru menjadi jutawan firma Internet yang kini mempunyai kepentingan di serata dunia dan melihat pengganti yang bakal mengemudi jenama China itu.

PADA usia yang boleh dianggap masih muda, hanya 54 tahun, Pengerusi Eksekutif dan pengasas bersama Alibaba, Jack Ma mengejutkan pasaran baru-baru ini apabila beliau mengumumkan mahu berundur daripada menerajui syarikat gergasi e-dagang China dan menumpukan masa bagi kerja kebajikan yang memberi fokus kepada pendidikan.

Laporan itu mengejutkan ramai dalam masyarakat perniagaan global kerana usia Encik Ma jauh lebih muda terutama di China yang lazimnya para pemimpin memegang kuasa sehingga usia 80-an tahun.

Encik Ma merupakan seorang guru bahasa Inggeris sebelum memulakan Alibaba pada tahun 1999 sehingga ia berkembang menjadi gergasi Internet bernilai berbilion dolar, menjadi antara lelaki terkaya dunia dan individu dihormati di tanah airnya.

Nilai bersih Encik Ma dianggarkan bernilai AS$36.6 bilion ($50.1 bilion), menurut Forbes.

Nilai kekayaannya meningkat sejajar dengan strategi menambah kepentingan dalam firma pengkomputeran awan, filem dan e-pembayaran, menjadikan nilai syarikat itu sekitar AS$420.8 bilion bulan ini.

Ketika ini, Jack Ma dalam proses memastikan proses peralihan kuasa berjalan dengan lancar sebelum bertindak menyerahkan jawatannya kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Alibaba, Daniel Zhang pada 10 September tahun depan.

Dalam satu kenyataan baru-baru ini, Encik Ma berkata, dalam tempoh 12 bulan akan datang beliau akan memastikan operasi kumpulan dalam keadaan terbaik agar peralihan dapat dilaksanakan dengan sempurna.

Ini katanya bagi memastikan Alibaba dapat meneruskan kegemilangannya seperti di bawah kepimpinannya.

"Dalam 12 bulan akan menjadi tempoh terpenting kepada saya dan kumpulan. Saya akan memegang jawatan Pengerusi Eksekutif dan bekerjasama dengan CEO Alibaba, Zhang bagi memastikan proses peralihan ini berjaya.

"Selepas 10 September 2019, saya akan kekal sebagai Ahli Lembaga Pengarah Alibaba sehingga mesyuarat pemegang saham tahunan yang dijangka diadakan pada 2020 nanti," katanya yang melepaskan jawatan sebagai CEO pada 2013.

Selepas persaraannya itu, Jack Ma akan terus menjadi mentor pengurusan sebagai sebahagian daripada pelan perkongsian Alibaba kepada sekumpulan 36 ahli syarikat terasnya.

"Satu perkara yang boleh saya janjikan - Alibaba bukan hanya mengenai Jack Ma tetapi Alibaba akan sentiasa memiliki Jack Ma," katanya.

Encik Ma mengasaskan Alibaba 15 tahun lalu di sebuah apartmen kecil di Hanzhou, China.

Berdasarkan perangkaan bulan ini (September 2018), modal pasaran Alibaba bernilai lebih $420 bilion - lebih besar daripada Wal-Mart dan Bank of America.

Bukan itu sahaja, Alibaba mempunyai pelan agresif berkembang di Amerika Syarikat dan Eropah dan telah melabur hampir $1 bilion dalam firma startup di Amerika seperti Uber, Lyft, ShopRunner, Fanatics, Tango and Kabam.

Usahawan masa kini dan mereka yang mahu menjadi usahawan wajar mempelajari bagaimana Encik Ma mencipta wawasan, membantu sekumpulan rakan dan dengan modal $60,000 menjadi himpunan harta dan membina salah sebuah syarikat Internet yang paling bernilai di dunia.

Boleh dikatakan, kejayaan Encik Ma ada kaitan dengan kesedaran bahawa bahasa Inggeris satu kemahiran yang penting.

Semasa usia mudanya, beliau akan menunggang basikal ke hotel yang berdekatan dan membawa pelancong bersiar-siar di sekitar bandar itu dan pada masa yang sama mempelajari bahasa Inggeris

Encik Ma juga mempunyai wawasan dan bijak mencari pertolongan.

Beliau menyaksikan potensi besar Internet untuk merapatkan jurang antara perniagaan dengan pasaran China yang besar.

Oleh itu beliau dan isterinya mengumpulkan 17 rakan dan mereka mengumpulkan sekitar $60,000 untuk memulakan perniagaan.

Itulah asas permulaan bagi Alibaba yang mempunyai struktur perkongsian dinamik dan budaya kerja yang menggalak kerjasama, mengurangkan birokrasi dan menggalak kebertanggungjawaban bagi pertumbuhan masa depan.

Masalah besar sering membuka peluang yang juga besar.

Prasarana nyata China yang terhad sering dilihat sebagai hadangan bagi peniaga kecil.

Alibaba berupaya memberi huraian kepada peniaga kecil menembusi pasaran China menerusi wadah online dan kini menguasai 80 peratus perniagaan dalam talian di negara itu - bernilai $248 bilion tahun lalu dan lebih seganda berbanding Amazon.

Kejayaan Alibaba juga boleh dilihat dari segi perkembangannya yang pesat.

Encik Ma tidak sekadar berpuas hati berniaga secara kecil-kecilan malah beliau dan rakan-rakan niaganya mempertaruhkan segalanya.

Mereka berjaya mengumpul dana $5 juta daripada pelabur swasta, $20 juta daripada Softbank pada 2000, $1 bilion daripada Yahoo lima tahun kemudian dan $1.5 bilion daripada Silicon Lake Partners dan DST Global pada 2011. Usaha mengumpul dana secara besar-besaran itu antara kunci kejayaannya.

Firma gergasi Internet yang diasaskan beliau mungkin pencapaian yang luar biasa memandangkan beliau awalnya tidak mempunyai kepakaran dalam bidang IT.

Kini, bukan hanya IT Encik Ma sedang mengamati teknologi terkini termasuk ngenai kesan kecerdasan buatan (AI).

Mengenai teknologi AI, Encik Ma berkata:

"Kecerdasan buatan, data besar sejenis ancaman kepada manusia. Saya rasa AI harus menyokong manusia.

"Komputer akan sentiasa lebih bijak daripada anda. Ia tidak pernah lupa, marah, tetapi komputer tidak boleh menjadi pintar seperti manusia.

"AI dan robot akan menghapuskan banyak pekerjaan kerana pada masa depan tugas akan dilakukan mesin. Industri khidmat menawarkan harapan, tetapi ia mesti dilakukan secara unik".

Inovasi lahir daripada individu unik yang berupaya berfikir dan bertindak secara berbeza.

Ramai yang berupaya bercakap tentang cara mengubah dunia dan membuat banyak wang hari ini, tetapi mereka yang benar-benar melakukannya adalah individu yang luar biasa dengan idea-idea yang memecah batasan, wawasan luar biasa dan semangat melakukan tugas yang hebat.

Inovasi gangguan lahir daripada mereka yang berupaya memecah status quo dan mengukir laluan mereka sendiri.

Seperti Amazon dan eBay, Alibaba adalah syarikat dagang Internet namun firma China itu mempunyai keunikannya tersendiri.

Alibaba sebenarnya tidak menyimpan inventori atau menjual barang.

Ia merupakan orang tengah yang mengenakan bayaran dan meraih komisyen daripada peniaga yang lebih besar dan yuran pengiklanan daripada peniaga yang lebih kecil.

Hasilnya adalah salah satu model perniagaan yang paling berskala dan menguntungkan di dunia. - Agensi


APA KATA JACK MA MENGENAI:

Bakat

"Dapatkan orang yang paling sesuai untuk pekerjaan itu, bukan yang paling berbakat. Ini boleh menjadi pengajaran yang paling pedih. Tiada gunanya memasukkan enjin jet Boeing apabila anda hanya perlukan traktor."

Etika

"Jangan sekali-kali menipu orang lain, dalam perniagaan atau dalam kehidupan. Pada 1995, saya ditipu oleh empat syarikat - empat syarikat yang kini ditutup. Syarikat tidak boleh pergi jauh dengan menipu."


BIODATA

Pengasas Alibaba Jack Ma

Lahir : Hangzhou, China 10 September 1964

Isteri : Cathy Zhang

Anak : Ma Yuankun, Ma Yuanbao

Kekayaan : AS$36.9 bilion (Forbes, 2018)