SG boleh main peranan penting dalam ekonomi 'dwiperedaran' China: Vivian, Berita Dunia - BeritaHarian.sg
Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:20

Teka Kata

=

Uji pengetahuan anda dalam Perkataan Melayu

Betul!

Salah!

Dunia0

SG boleh main peranan penting dalam ekonomi 'dwiperedaran' China: Vivian

Menteri Luar nyatakan dalam wawancara bersama Xinhua jelang lawatan ke Wuyishan di wilayah Fujian
Apr 01, 2021 | 05:30 AM

BEIJING: Singapura boleh memainkan peranan penting pada bahagian luar strategi ekonomi 'dwiperedaran' baru China, selain dapat menjadi pangkalan bagi syarikat China yang ingin berkembang ke Asia Tenggara. Ini memandangkan hubungan perdagangan dan logistik negara ini yang kukuh ke China, kata Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan.

Beliau berkata demikian dalam satu wawancara bersama agensi berita rasmi China Xinhua menjelang lawatannya ke Wuyishan di wilayah Fujian di tenggara China. Dr Balakrishnan dijadual bertemu dan dihos rakan sejawatannya dari China, Encik Wang Yi, semalam.

Strategi dwiperedaran China bertujuan meningkatkan penggunaan domestik dan lebih berdikari, dan pada masa sama mendorong pelaburan asing dan pasaran eksport. Sebagai pusat kewangan serantau utama, Singapura juga dapat menyokong pembukaan pasaran kewangan dan modal China, kata Dr Balakrishnan.

Singapura pelabur asing terbesar di China sepanjang tujuh tahun lalu, dan syarikat Singapura boleh terus memanfaatkan pasaran China yang besar dalam bidang yang kepakarannya paling sesuai dengan keperluan ekonomi domestik China, ujar beliau dalam wawancara yang diterbitkan kelmarin, lapor The Straits Times.

"Kami berada dalam kedudukan baik untuk berperanan sebagai pintu masuk bagi pelabur China mengakses pasaran dan peluang Asean, serta pusat utama untuk menyalur pelaburan ke China dari seluruh dunia," kata Dr Balakrishnan, sambil menambah bahawa seperempat daripada semua pelaburan China bagi projek Belt and Road telah melalui Singapura.

Discover Malay Home Based Businesses

Di sebalik penularan Covid-19, China dan Asean terus bekerjasama dalam ekonomi dan kini berusaha meningkatkan perjanjian perdagangan bebas (FTA) mereka agar ia "tetap sesuai bagi tujuannya" dalam dunia pascapandemik," ujar Dr Balakrishnan.

Data China menunjukkan Asean rakan dagang terbesar negara itu tahun lalu. FTA yang diperbaharui akan merangkumi keutamaan baru yang ada kaitan dengan Covid-19, seperti ekonomi digital, kesihatan awam dan pengurangan langkah bukan tarif, ujar beliau.

Asean juga menandatangani Kerjasama Ekonomi Menyeluruh Serantau (RCEP) November lalu bersama China, Australia, New Zealand, Jepun dan Korea Selatan - satu blok perdagangan terbesar di dunia, membentuk 30 peratus hasil dalam negeri kasar (GDP) dunia.

"Apabila RCEP berkuat kuasa, ia akan memberi satu isyarat kuat bahawa rantau kami tetap komited bagi perdagangan bebas dan terbuka. Pada masa sama, pintu tetap terbuka buat rakan-rakan yang berfikiran sama untuk bergabung dengan kami," kata Dr Balakrishnan.

Beliau dan Encik Wang dijangka menyentuh perkara daripada mesyuarat Majlis Bersama bagi Kerjasama Dua Hala Disember lalu dan membincangkan kemajuan perjanjian. Sebanyak 10 kerjasama, daripada keselamatan makanan hingga sekitaran, dimeterai semasa sidang puncak itu. Kededua pihak juga bersetuju bekerjasama dalam bidang baru seperti kesihatan awam.

Mereka juga dijadual membincangkan pemulihan perjalanan rentas sempadan kerana kedua-dua negara telah berjaya menangani pandemik Covid-19 dan mula melancar program vaksinasi bagi penduduk masing-masing.


"Kami berada dalam kedudukan baik untuk berperanan sebagai pintu masuk bagi pelabur China mengakses pasaran dan peluang Asean, serta pusat utama untuk menyalur pelaburan ke China dari seluruh dunia... Apabila RCEP (Kerjasama Ekonomi Menyeluruh Serantau) berkuat kuasa, ia akan memberi satu isyarat kuat bahawa rantau kami tetap komited bagi perdagangan bebas dan terbuka. Pada masa sama, pintu tetap terbuka buat rakan-rakan yang berfikiran sama untuk bergabung dengan kami."
- Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan.

Video Baru

Podcast Baru

Teka Kata

=

Uji pengetahuan anda dalam Perkataan Melayu

Betul!

Salah!

Try the new Halal Food Map