Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SG-Kemboja perluas kerjasama dalam pelbagai bidang baru

Feb 17, 2022 | 5:30 AM
PERERAT HUBUNGAN: Dr Vivian Balakrishnan (kiri) bertemu Encik Prak Sokhonn semasa melawat Kemboja dalam lawatan rasmi dua hari beliau ke negara itu. - Foto MFA
PERERAT HUBUNGAN: Dr Vivian Balakrishnan (kiri) bertemu Encik Prak Sokhonn semasa melawat Kemboja dalam lawatan rasmi dua hari beliau ke negara itu. - Foto MFA -

SINGAPURA dan Kemboja akan meluaskan kerjasama terutamanya dalam bidang baru seperti kesalinghubungan, pembangunan prasarana, perdagangan pertanian, teknologi kewangan dan ekonomi digital.

Ini menyusuli lawatan rasmi Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, selama dua hari bermula kelmarin ke ibu kota Kemboja, Phnom Penh, atas undangan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar serta Kerjasama Antarabangsa Kemboja, Encik Prak Sokhonn.

Dr Balakrishnan dijadual menghadiri Rahat Menteri Luar Asean selama dua hari bermula semalam.

Rahat itu adalah yang pertama dalam siri mesyuarat yang bakal dianjurkan Kemboja sebagai Pengerusi Asean tahun ini.

Semasa pertemuan Dr Balakrishnan dengan Encik Prak Sokhonn kelmarin, kedua-dua pemimpin itu mengesahkan hubungan dua hala amat baik antara Singapura dengan Kemboja. Dua negara itu telah menyambut ulang tahun ke-55 hubungan diplomatik pada 2020.

"Gembira bertemu rakan lama saya Prak Sokhonn..." tulis Dr Balakrishnan dalam satu catatan Facebook kelmarin.

"Kami membincangkan hubungan dua hala kami yang sangat baik, serta isu serantau dan antarabangsa.

"Pada tahun pemulihan pospandemik ini, kami bersetuju memperdalam kerjasama dua hala dalam bidang baru termasuk kesalinghubungan, prasarana, perdagangan pertanian, teknologi kewangan dan ekonomi digital," kata beliau.

Dua pemimpin itu memuji sokongan bersama yang diberi sepanjang krisis, termasuk sumbangan Singapura bagi bekalan dan peralatan perubatan kepada Kemboja, menurut kenyataan akhbar Kementerian Ehwal Luar (MFA) kelmarin.

Mereka juga mengalu-alukan penyambungan semula perjalanan di bawah Laluan Perjalanan bagi yang Sudah Menjalani Vaksinasi (VTL) Kemboja-Singapura.

Dr Balakrishnan turut bertemu Perdana Menteri, Encik Hun Sen, semalam.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg