Topik diikuti
Pergi ke BHkuShanghai capai sasaran tiga hari tanpa Covid-19 untuk longgar sekatan
Shanghai capai sasaran tiga hari tanpa Covid-19 untuk longgar sekatan
Shanghai capai sasaran tiga hari tanpa Covid-19 untuk longgar sekatan
SHANGHAI: Shanghai melaporkan tiada jangkitan Covid-19 baru buat tiga hari berturut-turut, mencapai matlamat penting yang dikatakan pihak berkuasa akan membolehkan mereka mula melonggarkan penutupan yang telah mencengkam hab kewangan China itu selama lebih enam minggu.
Bandar ini melaporkan 823 jangkitan kelmarin, turun daripada 938 pada Ahad.
Pegawai pemerintah sebelum ini menyatakan tiada penularan Covid-19 dalam masyarakat tiga hari berturut-turut ialah prasyarat untuk mula mengurangkan sekatan dan menyambung aktiviti perniagaan secara meluas.
Mereka sebelum ini meletakkan sasaran mencapai prasyarat itu menjelang 20 Mei.
Pelaksanaan dasar sifar Covid-19 China - yang dilihat pada penutupan Shanghai dan sekatan ketat lain yang dikenakan di tempat lain - memperlahankan segala-galanya daripada perbelanjaan pengguna kepada perkilangan dalam ekonomi kedua terbesar dunia itu.
Keluaran industri dan perbelanjaan pengguna merosot ke paras paling rendah pada April sejak pandemik itu bermula.
Prasyarat tiga hari berturut-turut itu berlaku selepas segelintir kes masyarakat harian ditemui dalam tempoh dua minggu lalu, mendorong pegawai melaksana lebih banyak sekatan, seperti memindahkan semua penduduk dari keseluruhan bangunan kediaman ke kemudahan kuarantin dalam usaha membasmi varian Omicron yang amat berjangkit.
Shanghai menyasarkan kembali ke kehidupan normal dan memulihkan kegiatan pengeluaran sepenuhnya menjelang pertengahan hingga akhir Jun, kata Naib Datuk Bandar, Encik Zong Ming, pada satu taklimat kelmarin.
Teksi dan kereta privet secara beransur-ansur akan dibenarkan kembali ke jalan raya di beberapa kawasan, manakala perkhidmatan tren dan bas disambung mulai 22 Mei.
Sementara itu, Beijing pula melaporkan 52 kes kelmarin, turun sedikit daripada 54 pada Ahad. Bandar itu akan memulakan tiga lagi pusingan ujian besar-besaran Covid-19 di sedozen daerah, sedang jangkitan terus muncul di luar kawasan yang dianggap berisiko tinggi dan sudah dikuarantin.
Di bandar pelabuhan Tianjin, pertambahan jangkitan baru telah muncul, mungkin disebabkan jangkitan seorang pekerja di kemudahan penyimpanan sejuk, lapor CCTV.
Di Sichuan, satu lonjakan jangkitan sedang berlaku di bandar Guang'an. Ia mencatat lebih 400 jangkitan dalam seminggu. - Agensi berita.
