Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Shanghai lancar ujian Covid-19 besar-besaran selepas ada kes baru

Jun 12, 2022 | 5:30 AM
ARAHAN YANG TIDAK DIJANGKA: Para penduduk di Shanghai, China beratur untuk menjalani ujian Covid-19 besar-besaran yang tidak dijangka bagi kebanyakan penduduk hujung minggu ini. - Foto REUTERS
ARAHAN YANG TIDAK DIJANGKA: Para penduduk di Shanghai, China beratur untuk menjalani ujian Covid-19 besar-besaran yang tidak dijangka bagi kebanyakan penduduk hujung minggu ini. - Foto REUTERS -

SHANGHAI: Hab komersial Shanghai di China menghadapi ujian Covid-19 besar-besaran yang tidak dijangka bagi kebanyakan penduduk hujung minggu ini, hanya selepas 10 hari arahan menutup seluruh bandar ditarik balik.

Perkembangan terbaru itu sekali gus mengganggu aktiviti penduduk dan menimbulkan kebimbangan mengenai kesannya terhadap sektor perniagaan.

Pegawai Shanghai berkata tujuh daripada 16 daerah di bandar itu akan menjalankan ujian reaksi rantaian polimerase (PCR) untuk semua penduduk pada hujung minggu bertujuan mencegah wabak baru berikutan penemuan beberapa kes dalam komuniti.

Enam daerah lain turut mengumumkan rancangan sama pada hari itu. Menurut beberapa daerah, penduduk tidak akan dibenarkan meninggalkan rumah mereka ketika ujian dijalankan.

"Ketika langkah mengambil sampel komuniti dilakukan, hanya akan ada laluan masuk dan tidak laluan keluar, yang akan ditarik balik selepas langkah mengambil sampel tamat," menurut satu notis di Changning.

"Kami berharap penduduk akan mengambil bahagian secara teratur dalam ujian PCR."

Pengumuman itu disambut dengan kejutan dan kebimbangan, dengan beberapa individu menggunakan platform Weibo seperti Twitter mengatakan bahawa ujian itu akan menjejas rancangan hujung minggu, seperti berpindah rumah atau berjumpa doktor. Ramai yang menyuarakan kebimbangan mereka boleh 'dikurung' semula.

Penduduk perlu mengemukakan bukti bahawa mereka menjalani ujian Covid dalam tempoh 72 jam untuk masuk ke kawasan seperti pusat beli-belah dan pejabat atau menggunakan kereta api bawah tanah dan bas.

Ramai yang kecewa kerana terpaksa beratur panjang selama berjam-jam di lebih 15,000 pusat vaksinasi yang berselerak di sekitar bandar untuk berbuat demikian.

Beberapa bahagian di bandar itu kekal di bawah atau kembali dikenakan sekatan pergerakan sejurus selepas 1 Jun disebabkan kes positif dan hubungan kontak rapat mereka.

Tiga daripada jangkitan terbaru dikesan di salun kecantikan popular di pusat bandar yang dibuka semula pada 1 Jun.

Walaupun kadar jangkitan China rendah mengikut piawaian global, Presiden Xi Jinping menggandakan dasar sifar-Covid yang menurut pihak berkuasa diperlukan untuk melindungi warga tua dan sistem perubatan negara, walaupun negara lain cuba hidup dengan koronavirus.

Penutupan selama dua bulan di Shanghai mencetuskan kekecewaan yang meluas, kemarahan dan juga bantahan yang jarang berlaku di kalangan penduduknya, ketika mereka bergelut dengan kehilangan pendapatan, kehilangan kebebasan, kematian rakan dan saudara, dan juga kelaparan.

Ia juga menjejas ekonomi China, mengganggu rantaian bekalan dan memperlahankan perdagangan antarabangsa. - Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg