ISLAMABAD: Perdana menteri baru Pakistan, Encik Shehbaz Sharif, yang dipilih oleh anggota parlimen pada 11 April lalu, memikul harapan rakyat membawa negara itu keluar daripada krisis ekonomi dan kewangan.
Diejek oleh mantan perdana menteri, Encik Imran Khan, sebagai "hamba Amerika Syarikat", Encik Sharif, 70 tahun, dijangka menggalas tugas sebagai Perdana Menteri Pakistan ke-23 sehingga pilihan raya umum diadakan sekitar tahun depan.
Beliau dipilih parlimen selepas Encik Khan, mantan bintang kriket negara itu, dipecat dalam satu undi tidak percaya yang mengancam mencetuskan krisis perlembagaan.
Selama berminggu-minggu Encik Sharif, yang mempunyai reputasi sebagai pentadbir yang baik dan pemimpin cekap, mengetuai kempen untuk menyingkirkan Encik Khan atas dakwaan lemah dalam urus tadbir negara dan salah urus ekonomi.
SIAPA SHEHBAZ?
Dibesarkan dalam keluarga yang menguasai perusahaan keluli Pakistan, Encik Sharif ialah adik mantan perdana menteri, Encik Nawaz Sharif, yang memimpin negara itu sebanyak tiga kali dari 1990 hingga 1993, 1997 hingga 1998 dan 2013 hingga 2017.
Beliau pada mulanya dilantik sebagai Ketua Menteri Punjab, sebuah wilayah penting dari segi politik dan paling ramai penduduk pada 1997, dan dipuji ramai kerana tadbir urusnya yang baik, lapor CNN.
Tetapi penggal khidmatnya terbantut pada 1999 apabila mantan Jeneral Pervez Musharraf mengetuai rampasan kuasa tentera terhadap abangnya.
Encik Sharif dipenjarakan untuk beberapa ketika sebelum mengasingkan diri di Arab Saudi bersama keluarganya.
Beliau kembali ke Pakistan pada 2007 dan dilantik semula sebagai Ketua Menteri Punjab pada tahun berikutnya. Ramai penduduk menikmati projek infrastruktur yang dibangunkannya selain kemajuan yang dicatat dalam pendidikan dan perusahaan.
Tetapi keluarga Sharif terus dihantui skandal, dan pada 2018, abangnya dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan didenda atas dakwaan rasuah.
Encik Nawaz Sharif menafikan tuduhan itu, tetapi dihalang oleh mahkamah tertinggi Pakistan daripada memegang sebarang jawatan politik.
Susulannya, Encik Sharif (Shehbaz) mengambil alih jawatan abangnya sebagai ketua parti Liga Muslim Pakistan-N (PMLN), tetapi turut menghadapi tuduhan rasuah yang dinafikannya.
Encik Sharif dikenali sebagai seorang pemimpin yang suka membuat lawatan mengejut ke pejabat pemerintah untuk memastikan birokrat menjalankan tugas dengan baik dan menaruh minat terhadap projek infrastruktur di Lahore, ibu kota Punjab.
Hasilnya, bandar itu menjadi lebih maju daripada kawasan metro utama lain di Pakistan, dengan rangkaian jalan raya yang luas dan perkhidmatan kereta api moden yang pertama.
"Beliau bukan jenis yang popular berpolitik," kata Encik Sohail Warriach, editor kanan akhbar Jang yang berpangkalan di Lahore. "Kepakaran beliau adalah pengurusan dan pelaksanaan."
CABARAN ENCIK SHARIF
Encik Sharif mengambil alih kuasa sedang Pakistan menghadapi kemungkinan mengalami defisit fiskal dan akaun semasa yang besar.
Negara Asia Selatan itu menanggung hutang lebih AS$100 bilion ($135.58 bilion) dan memerlukan lebih $14 bilion setahun untuk membayar balik hutang kepada institusi kewangan antarabangsa.
Untuk membantunya menangani cabaran yang dihadapi, Encik Sharif, pada Selasa lalu, melantik kabinet gabungan pelbagai parti yang bersatu untuk menjatuhkan Encik Khan.
Kabinet termasuk lima menteri wanita itu, antara lain, ditugaskan mengukuhkan hubungan dengan China, yang menjanjikan pinjaman berbilion dolar di bawah Koridor Ekonomi China-Pakistan (CPEC).
Ia dijangka mentadbir negara selama maksimum 16 bulan sebelum pilihan raya umum diadakan.
Namun, dengan pandangan berbeza dalam gabungan itu sama ada untuk mengadakan pilihan raya lebih awal dari Ogos tahun depan, tidak jelas berapa lama ia akan kekal.
Apa pun, satu tinjauan oleh Gallup Pakistan yang dikeluarkan Januari lalu mendapati 64 peratus responden merasakan inflasi adalah masalah terbesar bagi negara itu.
Cik Meleeha Lodhi, mantan Duta Besar Pakistan ke Amerika, Britain dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), berkata memulihkan ekonomi akan menjadi "cabaran terbesar dan keutamaan Encik Sharif".
Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) bersetuju pada 2019 untuk memberikan Pakistan bantuan sebanyak $6 bilion, tetapi sejak itu program tersebut mengalami kemunduran.
Menurut Cik Lodhi, menyambung semula program IMF harus menjadi "fokus utama" Encik Sharif.
Tidak lama selepas mengangkat sumpah, Encik Sharif berikrar membaiki ekonomi.
"Cabaran ekonomi adalah besar dan kita perlu membuat jalan keluar daripada masalah ini. Kita perlu menumpahkan peluh dan darah untuk memulihkan ekonomi," katanya.
SELESA DENGAN TENTERA
Tidak seperti abangnya, Encik Shehbaz diketahui mempunyai hubungan baik dengan pihak tentera.
"Beliau sentiasa mempunyai hubungan baik dengan tentera," kata Encik Habib Akram, seorang penganalisis yang berpangkalan di Lahore, kepada agensi penyiaran Jerman Deutsche Welle.
MAHIR IMBANGI HUBUNGAN
Bagi Encik Khan, Encik Sharif hanyalah "hamba Amerika" yang berkomplot untuk menjatuhkan pemerintahannya.
Namun, mereka yang rapat dengan Encik Shehbaz menggambarkan beliau sebagai seorang yang mahir mengimbangi hubungan antara rakan-rakan yang berkuasa - sama ada Amerika, China, Russia atau pihak tentera Pakistan sendiri, yang melancarkan rampasan kuasa terhadap abangnya lebih dua dekad lalu.
"Shehbaz Sharif benar-benar ingin meneruskan hubungan persahabatan dengan semua negara," kata Encik Miftah Ismail, yang baru dilantik sebagai menteri kewangan.
"Kami ingin mempunyai hubungan baik dengan Amerika dan China, dan, sudah tentu, Russia." - Agensi berita
"Shehbaz dikenali sebagai pengurus dan pemimpin yang tajam dan cekap - tetapi beliau belum pernah menjadi perdana menteri.
Seperti Khan, beliau akan berdepan ujian apabila memegang jawatan yang tidak pernah disandangnya sebelum ini, dengan segala cabaran besar yang datang dengannya, terutama dalam persekitaran yang terlalu berat sebelah dan krisis ekonomi yang serius."
- Dr Michael Kugelman, sekutu kanan Jabatan Asia Selatan di Pusat Wilson yang berpangkalan di Washington, mengenai cabaran yang dihadapi perdana menteri baru pakistan, Encik Shehbaz Sharif.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg