Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Shinzo Abe: Pejuang pembaharuan ekonomi, dasar luar Jepun

Mantan pemimpin itu meninggal dunia selepas ditembak ketika sedang berkempen Jumaat lalu
Jul 11, 2022 | 5:30 AM
PALING LAMA BERKHIDMAT: Encik Abe, memegang jawatan perdana menteri pada 2006 selama satu tahun dan sekali lagi dari 2012 hingga 2020. - Foto-foto AFP, REUTERS
PALING LAMA BERKHIDMAT: Encik Abe, memegang jawatan perdana menteri pada 2006 selama satu tahun dan sekali lagi dari 2012 hingga 2020. - Foto-foto AFP, REUTERS -

TOKYO: Encik Shinzo Abe memecahkan rekod sebagai perdana menteri Jepun paling lama berkhidmat, memperjuangkan pembaharuan ekonomi serta menjalin hubungan diplomatik yang lebih kukuh di sebalik skandal yang turut menghiasi karier politiknya.

Hampir dua tahun selepas beliau meninggalkan pejabat atas faktor kesihatannya, Encik Abe, 67 tahun ditembak ketika sedang berkempen pagi Jumaat lalu.

Berikutan tembakan itu, beliau rebah dan cedera di leher dan meninggal dunia beberapa jam kemudian di hospital.

Mantan pemimpin itu menyampaikan ucapan pada majlis menjelang pilihan raya Dewan Perwakilan Ahad ini apabila bunyi tembakan yang jelas kedengaran, menurut NHK dan agensi berita, Kyodo.

Kerajaan berkata pasukan petugas ditubuhkan susulan insiden itu dan jurucakap tertinggi kerajaan dijangka mengeluarkan kenyataan tidak lama lagi.

Jepun mempunyai beberapa undang-undang kawalan senjata yang paling ketat di dunia, dan kematian tahunan akibat senjata api di negara yang mempunyai 125 juta orang itu selalunya dalam satu digit.

Permohonan mendapatkan lesen senjata api adalah proses yang panjang dan rumit walaupun untuk warga Jepun, yang mesti mendapatkan rekomendasi daripada persatuan menembak terlebih dahulu dan kemudian menjalani pemeriksaan polis yang ketat.

LATAR KELUARGA

Encik Abe mengahwini Cik Akie Matsuzaki, seorang sosialit dan bekas joki cakera radio pada 1987.

Beliau ialah anak perempuan kepada Presiden Morinaga & Company, pengilang coklat. Cik Matsuzaki terkenal sebagai "parti pembangkang dalam rumah", kerana pandangannya yang lantang, yang sering bertentangan dengan pendapat suaminya.

Setelah suaminya menjadi Perdana Menteri buat pertama kali, beliau membuka izakaya (bar model Jepun) organik di daerah Kanda di Tokyo, tetapi tidak aktif dalam pengurusan kerana desakan oleh ibu mertuanya. Pasangan ini tidak mempunyai anak.

LAMA BERKHIDMAT

Encik Abe, perdana menteri Jepun yang paling lama berkhidmat, memegang jawatan pada 2006 selama satu tahun dan sekali lagi dari 2012 hingga 2020.

Encik Abe dilahirkan dalam keluarga yang begitu bergiat dalam politik, dan beliau sendiri belajar dalam jurusan sains politik di Jepun dan di Amerika Syarikat.

Beliau bekerja di sektor swasta sehingga tahun 1982, di mana beliau menyertai sektor awam.

Encik Abe menjadi perdana menteri Jepun pada 2006 ketika usianya 52 tahun, sekali gus menjadikan beliau pemimpin paling muda pernah memegang jawatan itu.

Beliau dilihat sebagai simbol perubahan dan belia, namun turut dianggap membawa salasilah ahli politik generasi ketiga yang dipersiap sejak lahirnya dari kalangan keluarga elit dan konservatif.

Encik Abe ialah perdana menteri yang paling lama berkhidmat di Jepun dan memegang jawatan itu buat kali kedua pada tahun 2012.

Sebelum ini, beliau memegang jawatan itu pada kali pertama mulai tahun 2006, tetapi meletakkan jawatan pada tahun 2007 kerana mengalami masalah kesihatan yang sama.

Penggal pertama Encik Abe penuh konflik, dilanda pelbagai skandal serta perselisihan dan memaksa beliau meletakkan jawatannya secara tiba-tiba.

Encik Abe sebelum ini berkata beliau berusaha melakukan yang terbaik setiap hari bagi menstabilkan politik dalam negara dan ini telah membawanya lebih dekat untuk mencapai jangka hayat lebih lama dalam memegang jawatannya dalam sebuah negara yang terkenal dengan pucuk pimpinannya yang kerap bertukar.

Biarpun pada mulanya mencadangkan supaya peletakan jawatannya itu dibuat atas alasan politik, namun beliau mengakui mengalami penyakit yang kemudiannya didiagnosis sebagai kolitis ulseratif, sejenis penyakit radang usus.

Keadaan kesihatannya kemudian pulih dengan rawatan dan ubatan yang diambilnya, sebelum kembali ke pejabatnya sebagai perdana menteri Jepun pada 2012.

Encik Abe juga berusaha untuk meningkatkan kadar kelahiran negara dengan menjadikan tempat kerja lebih mesra kepada ibu bapa, terutamanya golongan ibu.

Beliau meneruskan kenaikan cukai penggunaan yang kontroversial untuk membantu membiayai taska dan menutup jurang dalam sistem keselamatan sosial Jepun yang terlalu ketat.

Biarpun terdapat sedikit kemajuan dengan pembaharuan dilaksanakan, masalah struktur ekonomi masih kekal, dengan ekonomi Jepun berada dalam kemelesetan sebelum Covid-19 melanda pada 2020.

Pengaruh Abe kian merosot ketika wabak Covid-19 melanda, dengan pendekatan diambil sering dikritik sebagai keliru dan perlahan, menyebabkan rating kelulusannya turun ke beberapa tangga yang terendah dalam tempoh perkhidmatannya.

DASAR LUAR

Di pentas antarabangsa, Encik Abe mengambil tindakan keras terhadap Korea Utara, namun berperanan sebagai pendamai antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran.

Beliau mengutamakan hubungan peribadi rapat dengan mantan Presiden AS, Encik Donald Trump, dalam usaha melindungi perikatan utama Jepun serta cuba memperbaiki hubungan dengan Russia dan China.

Sejak beliau berkuasa pada 2012, Encik Abe telah melaksanakan pakej dasar ekonomi dikenali sebagai 'Abenomics', dan mengambil tindakan berani melaksanakan fiskal fleksibel dan menurunkan dasar monetari, Kabinet beliau telah membantu ekonomi kembali pulih, tulis akhbar itu.

Kejayaan lain dicatatkan Abe yang turut mendapat pujian termasuk undang-undang berkaitan keselamatan yang diluluskan pada 2015 yang membolehkan Jepun melaksanakan haknya untuk pertahanan diri kolektif secara terhad, meningkatkan kerjasama Jepun-AS serta memperkukuh hubungan dengan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump. - Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg