BRUSSELS: Mesyuarat sidang kemuncak pemimpin Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) di Brussels memberi peringatan terhadap ancaman ketenteraan oleh China dengan menyifatkannya sebagai 'cabaran sistemik'.
BBC melaporkan, mereka berkata China sedang giat membangunkan senjata nuklearnya dan bekerjasama dengan Russia dalam bidang ketenteraan.
Setiausaha Agung Nato Jens Stoltenberg memberi amaran bahawa China berusaha 'mendekati' Nato dalam aspek ketenteraan dan teknologi.
Katanya, pakatan itu tidak mahu melancarkan Perang Dingin baru dengan China.
Nato adalah pakatan politik dan ketenteraan yang kuat antara 30 negara Eopah dan Amerika Utara.
Pakatan itu dibentuk selepas Perang Dunia Kedua sebagai tindak balas terhadap ancaman pengembangan pengaruh komunis.
Pemimpin negara Nato telah digesa mengukuhkan dasar bersama terhadap China yang semakin dominan.
Perkara itu dibangkitkan Setiausaha Agung pakatan itu, Jens Stoltenberg, menjelang Sidang Kemuncak Nato di Brussels menerusi temu bual bersama rangkaian televisyen Canada, CBC, semalam.
Beliau menegaskan, China ketika ini mempunyai kuasa pertahanan kedua terbesar dunia, tentera laut terbesar dan membuat pelaburan terbesar dalam material ketenteraan baru yang dilihat bakal mempengaruhi tahap keselamatan negara pakatan.
"China tidak berkongsi nilai kita. Kita boleh melihat bagaimana mereka menguruskan protes demokratik di Hong Kong, bagaimana mereka menindas minoriti di Uighur di timur China, malah menggunakan teknologi moden bagi memantau populasi mereka dalam keadaan yang kita tidak pernah dilihat.
"Jadi, adalah penting Nato membangunkan dasar, mengukuhkan dasar apabila ia berkaitan dengan China," katanya.
Kenyataan itu dibuat ketika sidang kemuncak Kumpulan Tujuh (G7) yang baru berakhir di Britain bersetuju untuk berpendirian teguh terhadap China dan menyeru Beijing supaya menghormati kebebasan dan hak asasi manusia selain membenarkan kebebasan pelayaran di Laut China Selatan.
Dalam temu bual itu, Encik Stoltenberg turut mengakui bahawa penting bagi negara lain bekerjasama dengan China bagi menangani isu perubahan iklim serta kawalan senjata, namun beliau tetap mengecam penahanan warga Canada, Michael Kovrig dan Michael Spavor, atas tuduhan mengintip.
"Apabila sebuah negara melakukan tindakan yang tidak digemari mereka, mereka akan memberi reaksi dengan cara yang agresif," katanya.
Dalam temu bual itu juga, Encik Stoltenberg mengakui terdapat 'perbincangan yang mencabar' di antara sekutu Nato ketika era pentadbiran Trump, namun beliau mengatakan ia diatasi dengan pakatan yang kuat.
"Sekarang kita sudah ada Presiden Biden, yang menyokong kuat Nato untuk keselamatan Eropah, malah bersedia untuk melabur lebih banyak dalam pakatan ini," katanya.
Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat (AS) berkata, Nato sangat penting bagi AS dan pakatan itu mempunyai 'kewajipan suci' untuk mematuhi Artikel 5 perjanjian penubuhannya yang mengikat negara anggota agar saling mempertahankan diri daripada serangan.
Ditanya mengenai pertemuannya dengan Presiden Russia Vladimir Putih di Geneva esok, beliau menggambarkan Putin sebagai 'musuh yang layak'. - Agensi berita