Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

SIDANG PUNCAK KHAS ASEAN-AS

Temuan bukti komitmen Amerika di Asia Tenggara

Wadah bagi Amerika perdalam hubungan ekonomi di rantau ini sekalipun wujud beberapa isu kurang selesa termasuk rampasan kuasa di Myanmar
May 12, 2022 | 05:30 AM



WASHINGTON: Teras utama mesej sempena sidang puncak khas Asean-Amerika Syarikat (AUSS) adalah komitmen berterusan Amerika kepada Asia Tenggara, demikian menurut pengamat serantau menjelang mesyuarat peringkat tinggi itu pada lewat minggu ini.



Namun, walaupun sidang puncak itu menawarkan peluang untuk menegaskan komitmen itu dan memperdalam penglibatan Amerika di rantau tersebut, ia juga mungkin menyerlahkan beberapa perbezaan tidak selesa antara dua pihak itu.



Sidang puncak itu secara rasmi memperingati 45 tahun hubungan Amerika-Asean dan bakal berlangsung di Washington hari ini dan esok (waktu tempatan) - lebih setahun selepas Encik Biden menjadi pemimpin Amerika.



Sidang itu asalnya dijadualkan pada akhir Mac tetapi ditangguhkan kerana isu penjadualan.



"Kepentingan Sidang Puncak Khas Asean-Amerika itu adalah ia akan diadakan. Pertemuan itu adalah mesejnya," kata diplomat bersara, Encik Bilahari Kausikan, pengerusi Institut Timur Tengah di Universiti Nasional Singapura (NUS), lapor The Straits Times (ST).



Beliau menarik perhatian bahawa sidang itu diadakan sedang perang masih berkecamuk di Ukraine - satu peristiwa yang diramalkan sesetengah pihak boleh mengalihkan perhatian Amerika daripada Asia Tenggara, memandangkan perang Amerika di Afghanistan dan Iraq sebelum ini telah mengalihkan pandangannya dari rantau itu.



"Mengadakan sidang puncak Asean-Amerika pada masa ini menggariskan apa yang sepatutnya jelas - bahawa Amerika sebenarnya mampu memberi tumpuan kepada beberapa kejadian dan tidak terganggu," kata Encik Bilahari kelmarin dalam satu webinar anjuran Stimson Centre, sebuah badan pemikir dasar antarabangsa yang berpangkalan di Washington.



Menulis satu ulasan di dalam talian pada Isnin lalu, pakar kanan Asia Tenggara di Institut Keamanan Amerika, Encik Brian Harding, pula berkata:



"Sidang puncak khas ini bertujuan membantu menebus masa yang hilang dan jelas menunjukkan minat mendalam Amerika dan komitmen untuk mengeratkan hubungan dengan negara anggota Asean."



Beliau menambah:



"Pengaruh dan unjuran kuasa China di Asia Tenggara akan menjadi perhatian utama dalam sidang puncak itu, tetapi mesyuarat dua hari itu juga menawarkan peluang untuk memperdalam hubungan ekonomi dengan Asean."



Sedang Washington memberi tumpuan kepada persaingannya dengan China, blok serantau Asean itu mahu mengelak daripada merosakkan hubungan dengan rakan dagang terbesarnya, dan akan berusaha mencapai keseimbangan antara dua kuasa besar itu.



China telah mengukuhkan integrasi ekonominya dengan ekonomi rantau ini, mencetuskan kebimbangan di Washington bahawa ia akan kehilangan tempat kepada Beijing di situ.



Amerika dan Asean juga perlu berdepan beberapa isu kurang selesa, antaranya rampasan kuasa tentera di Myanmar pada Februari tahun lalu.



Ketua junta Myanmar, Jeneral Min Aung Hlaing, tidak akan menghadiri mesyuarat itu.



Sementara itu, kedua-dua pihak dijadualkan mengeluarkan "kenyataan visi bersama Amerika-Asean yang bercita-cita tinggi dan berpandangan ke hadapan", kata Cik Kate Rebholz, pegawai bertanggungjawab bagi misi Amerika ke Asean, pada webinar kelmarin.



Beliau menambah, mereka juga akan mengumumkan perkongsian baru antaranya mengenai kesihatan awam, iklim dan pertumbuhan ekonomi.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >